Idea dalam 6 perkara diperlu demi pembangunan KB

ARIF ISMAIL | .

KOTA BHARU: Ekoran pembangunan agak pesat di Kota Bharu sekarang, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengalu-alukan sebarang cadangan masyarakat tempatan.

Idea tersebut berkisar enam perkara iaitu pembangunan fizikal, lalulintas, rekreasi, rekabentuk bandar, sistem saliran dan peparitan serta pelancongan.

Justeru, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Zamri Ismail berkata, satu rancangan baru perlu dilakukan bagi memenuhi hasrat itu.

Menurutnya, pembangunan khususnya di Lembah Sireh, Kubang Kerian, Bandar Baru Tunjung dan Bandar Satelit Islam Pasir Tumboh perlu diteliti semula.

"Apabila perancangan semakin pesat maka berlaku banyak perubahan berlaku dalam bandar Kota Bharu yang terpaksa dibincangkan semula.

"Walaupun perancangan asalnya tamat pada tahun 2020, jadi kita telah membuat kajian awal supaya sesuai dengan perkembangan semasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan 'town hall' rancangan tempatan (pengantian) 2035 di Dewan Jubli Perak disini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa Zon Timur, Nawi Pa'tik dan semua Ahli Majlis MPKB-BRI sert wakil kerajaan negeri.

Semua idea serta cadangan boleh diajukan kepada Jabatan Perancangan Bandar MPKB-BRI melalui borang yang disediakan di kaunter agensi tersebut.

Ia bermula pada hari ini dan akan berlangsung sehingga 17 November depan bagi membolehkan MPKB-BRI mendapat data yang sewajarnya bagi rancangan itu. – HARAKAHDAILY 23/10/2016

Share on Myspace