Jangkaan hasil Kerajaan Persekutuan goyah

TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .

Hasil Kerajaan Persekutuan buat tahun 2017 dianggarkan berjumlah RM219,726 juta. Apakah jangkaan ini akan menjadi realiti atau meleset seperti tahun 2016, yang dijangka akan berkurang 3% kepada RM212,595 juta berbanding RM219,089 juta pada 2015?

Apa yang menarik di dalam jangkaan hasil Bajet 2017 di dalam suasana ekonomi tidak menentu ialah jangkaan peningkatan di dalam cukai pendapatan sebanyak 9.7% pada 2017 (RM112,373 juta) berbanding 2015 (RM102,438) di mana peningkatan cukai pendapatan individu dianggarkan pada kadar 6% kepada RM29,853 juta (2016: RM28, 163 juta), syarikat 9.5% kepada RM69,193 juta (2016: RM63, 193 juta) dan petroleum 24.9% kepada RM10,637 juta (2016: RM8,517 juta) dengan andaian harga purata minyak mentah dunia 2017 yang lebih tinggi iaitu US45 setong berbanding US40 setong pada 2016.

Hujah kerajaan dalam membuat anggaran ini ialah anggaran ini adalah selaras dengan pertumbuhan ekonomi yang dijangkan mencatat 4% - 5% serta pematuhan cukai yang lebih baik “kesan daripada penguatkuasaan dan pengauditan yang lebih cekap”.

Dengan ekonomi dunia yang dijangka tidak menentu di 2017, cara kerajaan membuat jangkaan bahawa kutipan hasil daripada cukai pendapatan individu dan syarikat akan meningkat boleh disifatkan sebagai goyah.

Pada 2016, selain Ringgit mencapai nilai terendah dalam sejarah negara, kilang-kilang besar seperti JVC di Shah Alam, Seagate, Western Digital di Pulau Pinang telah menutup kilangnya di Malaysia kerana ekonomi dunia.

Nilai Ringgit yang rendah juga menyebabkan keuntungan pelbagai syarikat berkurangan.

Berdasarkan itu, negara kira bernasib baik sekiranya tiada syarikat lain meninggalkan Malaysia dan pengangguran tidak meningkat pada tahun 2017 apatah lagi ingin mendapat peningkatan hasil daripada cukai pendapatan individu mahupun syarikat.

Kerajaan juga menjangkakan Petronas hanya akan menyumbangkan hasil yang lebih rendah iaitu RM13,000 juta pada 2017 berbanding RM16,000 juta pada 2016 manakala kutipan GST dijangka meningkat RM1,500 juta kepada RM40,000 juta pada 2017 berbanding RM38,500 juta pada 2016. Peliknya, mengapa kerajaan membuat unjuran dividen Petronas menurun pada masa yang sama pula unjuran harga purata sedunia setong minyak mentah dan cukai petroleum pula meningkat pada 2017?

Bukan itu sahaja, dividen dari Khazanah juga tidak kelihatan bertambah di mana ia sekadar kekal RM1,000 juta pada 2017 seperti 2016 iaitu lebih kurang dari dividen pada 2015 iaitu RM1,400 juta. Apakah ini petanda pelaburan Khazanah sepanjang 2016 tidak berkembang dengan baik?

Bajet 2017 memperlihatkan kerajaan Umno BN nampaknya masih kekal dengan hasil tradisi, tanpa berusaha untuk mencari sumber baru bagi meningkatkan pendapatan negara.

Pergantungan kepada sumber petroleum telah menjerat kerajaan bilamana harga komoditi tersebut merudum.

Sepatutnya negara Malaysia yang kaya dengan pelbagai hasil sumber asli dan kedudukannya yang strategik memudahkannya menarik pelabur luar. Namun sayang, imej negara merudum kerana rasuah dan terjebak dengan skandal 1MDB yang menjadi tumpuan dunia.

Hari ini, tumpuan harus ditumpukan kembali kepada sektor pertanian. Dua negara jiran kita iaitu Thailand dan Indonesia semakin jauh meninggalkan kita dalam sektor pertanian.

Malaysia juga harus mengambil kesempatan daripada Singapura yang hanya bergantung kepada sektor perkhidmatan. Kekurangan ini sebenarnya membuka ruang yang luas bagi negara mengambil posisi sebagai sektor bekalan sumber pertanian dan bahan mentah kepada negara jiran ini.

Pergantungan utama kerajaan kepada cukai iaitu duit daripada rakyat amat membimbangkan. Ia juga membuktikan kerajaan ketandusan idea bagi merancang dan mencari jalan keluar kepada kemelut ekonomi yang dijangka berterusan buat beberapa tahun mendatang.

Kebimbangan utama rakyat ialah apa yang bakal berlaku sekiranya jangkaan hasil Kerajaan Persekutuan ini jauh meleset? Di manakah kerajaan akan mendapatkan dana sekiranya hasil cukai pendapatan individu dan syarikat tidak bertambah sebagaimana yang dijangkakan kerana kemelesetan ekonomi dunia?

Bagaimana pula sekiranya Petronas tidak dapat menyumbang sebanyak yang dijangkakan dan pulangan GST tidak meningkat kerana penurunan kuasa beli rakyat secara mendadak kerana nilai Ringgit yang tidak pulih-pulih?

Sekiranya jangkaan hasil kerajaan tidak menepati sasaran, apakah lebih banyak duit yang akan diambil oleh rakyat untuk menampung perbelanjaan kerajaan? Apakah itu intipati sebenar di sebalik mesej ‘ikat perut’ PM ketika membentangkan Bajet 2017?

Walaupun PM menjamin kadar GST tidak dinaikkan, namun sekiranya kerajaan gagal mempelbagaikan hasil untuk menampung perbelanjaan yang semakin besar, percayalah kemungkinan GST dinaikkan justeru kerajaan Umno BN kekal berkuasa adalah amat tinggi. Rakyat bersedialah sekiranya Umno BN kembali berkuasa selepas PRU14.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
22 Muharram 1438 / 23 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 23/10/2016

Share on Myspace