PAS kehilangan pejuang yang sangat gigih

HARAKAHDAILY | .

Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) merakamkan rasa sedih dan dukacita yang mendalam di atas pemergian Ustaz Zahari Mohamad, yang telah kembali ke rahmatullah pada pagi ini, Ahad, 22 Muharram 1438, bersamaan 23 Oktober 2016.

Dengan pemergian beliau yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Jabi pada tahun 1990, BPPNT kehilangan seorang tokoh yang sangat gigih di dalam perjuangan parti.

Sumbangan dan jasa beliau begitu besar, bukan hanya kepada PAS bahkan kepada kepada seluruh rakyat negeri Terengganu dan Malaysia amnya, selaku Ahli Dewan Undangan Negeri yang sangat aktif, memberikan pandangan dan mengambil bahagian dalam setiap perbahasan.

Ketika PAS berjaya menjadi kerajaan pada tahun 1999-2004, Almarhum telah diamanahkan menjawat jawatan sebagai Setiausaha Akhbar kepada YAB Menteri Besar Terengganu iaitu Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Antara jawatan yang pernah beliau pegang ialah Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, AJK Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu, Timbalan YDP PAS Kawasan Setiu, Pengarah MTD Jabi dan pelbagai jawatankuasa yang lain di pelbagai peringkat.

Saya dan seluruh saf kepimpinan BPPNT serta ahli dan penyokong PAS Negeri Terengganu mengucapkan takziah kepada keluarga Almarhum.

Semoga Allah SWT mengampunkan semua dosa Almarhum dan memberi pahala yang setingginya kepada Almarhum atas segala kerja jihad dan khidmat yang telah beliau berikan dalam sepanjang memegang pelbagai jawatan dalam PAS.

Semoga keluarga Almarhum tabah dan sabar di dalam menghadapi musibah ini.

Ustaz Satiful Bahri Mamat
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka
Ahad, 22 Muharram 1438 / 23 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 23/10/2016

Share on Myspace