Sejarah: Asri letak jawatan Yang Dipertua Agung PAS

HARAKAHDAILY | .

DATO' ASRI LETAK JAWATAN YANG DIPERTUA AGUNG PAS (23 OKTOBER 1983)

PADA hari ini dalam tahun 1983, Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah meletakkan jawatannya sebagai pemimpin tertinggi PAS, yang sekali gus menamatkan krisis kepemimpinan dalam PAS yang tercetus sejak 1981.

Peletakan jawatan ini juga menjadi batu tanda permulaan era kepemimpinan ulamak dalam PAS apabila Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Abdullah ar-Rawi memangku jawatan tertinggi PAS. Dato' Mohd Asri Haji Muda merupakan pemimpin yang paling lama memegang jawatan kepemimpinan PAS iaitu semenjak 1965 hingga 1971 sebagai Pemangku Yang Dipertua Agung PAS dan mulai 1971 hingga 1982 sebagai Yang Dipertua Agung PAS.

Dato' Mohd Asri Haji Muda yang memulakan karier politiknya bersama PAS sejak 1953 sebagai Setiausaha Kerja PAS, sebelum dilantik sebagai Setiausaha Kewangan PAS (1954-1955), Pesuruhjaya PAS Pantai Timur (1954-1955), Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS (1955-1962), Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Terengganu (kemudian Kelantan sahaja) (1956-1962), Naib Yang Dipertua Agung PAS (1962-1964) dan Pemangku Timbalan Yang Dipertua Agung PAS (1964).

Ketika beliau sedang memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS (1964-1971), pada 28 Januari 1965, Dato' Mohd Asri Haji Muda yang juga Menteri Besar Kelantan terpaksa memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS kerana Prof Dr Burhanuddin al-Helmy ditahan ISA. Selepas Dr Burhanuddin al-Helmy dibebaskan dengan dikenakan sekatan politik 1966, beliau terus memangku jawatan utama PAS sehingga berakhirnya sekatan politik ke atas Dr Burhanuddin al-Helmy, iaitu sebulan sebelum kematian Yang Dipertua Agung PAS itu. Sejak 1971, Dato' Mohd Asri mengambil alih kepemimpinan tertinggi secara rasmi.

Krisis kepemimpinan dalam PAS mula terserlah apabila Pak Yusof Rawa mengalahkan Dato' Abu Bakar Umar sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung PAS dalam pemilihan parti 1981. Dato' Mohd Asri Haji Muda kemudiannya melantik Dato' Abu Bakar Umar dan Haji Hassan Mohammad masing-masing sebagai Setiausaha Agung dan Bendahari Agung PAS yang mendatangkan kritikan daripada kebanyakkan pimpinan PAS.

Di Kelantan, perlantikan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan pada 1981 telah bertukar menjadi konflik dalam soal pemilihan calon ketika menghadapi Pilihan Raya Umum 1982 apabila Pesuruhjaya PAS Kelantan itu tidak dilantik dalam Jawatankuasa Pemilihan Calon bagi negeri Kelantan.

Kemuncak kepada konflik ini, Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengadakan Muktamar Tahunannya lebih awal di Madrasah al-Masriyah, Bukit Mertajam pada 31 Julai hingga 2 Ogos 1982. Ia dianggap sebagai satu usaha untuk meminggirkan Dato' Mohd Asri Haji Muda.

Dalam majlis pembukaan Muktamar Tahunan PAS Ke-28 pada pagi 22 Oktober 1982, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah bertindak untuk tidak hadir menyampaikan ucapan dasarnya atas alasan ia tidak lagi mustahak kerana Dewan Pemuda PAS telah bermuktamar.

Pada keesokannya (23 Oktober 1982), Dato' Mohd Asri Haji Muda telah menyampaikan satu ucapan dasar tanpa tema (kemudian diberikan tema oleh pengikutnya sebagai "Ukhuwah Bukan 'Adawah"), yang memuji dasar Islamisasi BN dan mengkritikan golongan ulamak dalam PAS. Ini telah menyebabkan beliau menerima kritikan dan di"boo" oleh sesetengah ahli PAS. Beliau mendakwa ada pihak tertentu yang melaung slogan "Marakbar Asri!" Bertolak dari kritikan keras ke atas kepemimpinan beliau ini, pada petang 23 Oktober 1982, dengan dorongan beberapa pengikut utamanya, beliau telah mengemukakan surat perletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Agung PAS.

Surat peletakan jawatan yang dibacakan oleh Setiausaha Agung PAS, Dato' Abu Bakar Umar ini telah disambut dengan laungan takbir oleh para perwakilan, walaupun pada awalnya Dato' Mohd Asri Haji Muda menjangkakan satu usul untuk memberikan semula mandat kepada beliau akan dibuat oleh satu perwakilan dari Kelantan, tetapi ia tidak berlaku.

Oleh kerana tidak ada perwakilan yang membantah perletakan jawatan Yang Dipertua Agung PAS ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang mengadakan mesyuarat khas pada hari itu juga telah memutuskan untuk menerima perletakan jawatan tersebut, sekali gus menamatkan era kepemimpinan Dato' Mohd Asri Haji Muda sejak awal 1965.

MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
23 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 23/10/2016

Share on Myspace