Royalti ucap tahniah Kelantan sambut 26 tahun pentadbiran

RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: Pertubuhan Royalti Kelantan (R) menjunjung tahniah pada kerajaan Kelantan kerana terus kekal melaksanakan dasar pentadbiran Membangun Bersama Islam selama 26 tahun.
 
Presiden R, Nazri Deraman, merakamkan ucapan  tahniah itu sempena ulang tahun Kerajaan Kelantan yang berteraskan Dasar Membangun Bersama Islam selama 26 tahun.
 
“Kami seluruh rakyat Kelantan mendoakan kerajaan negeri sentiasa dalam peliharaan Allah dan memerintah menerajui rakyat di negara ini dengan syariat Ilahi,”ujarnya.
 
Beliau seterusnya berkata, R berharap kerajaan negeri terus konsisten kekal memperjuangkan hak tuntutan royalti petroliam negeri ini.
 
Katanya, dua tuntutan iaitu royalti dan pendaratan gas perlu sentisa diingati untuk dipertingkatkan usaha dalam perjuangan menuntutnya.
 
Sementara itu, R berharap agar Kerajaan Negeri Kelantan menjalinkan hubungan yang baik dengan negeri-negeri pengeluar petroleum terutama Sarawak.
 
“Negeri itu lantang menuntut royalti dan pelbagai insentif dari pihak Petronas dan Kerajaan Persekutuan.
 
“Kami mencadangkan diadakan pertemuan di antara Menteri Besar Kelantan dengan Ketua Menteri Sarawak bagi membincangkan kerjasama dalam menuntut royalti,” ujarnya.
 
Sambungnya, Kelantan juga boleh memikirkan beberapa alternatif tuntutan sampingan daripada  Petronas dan Kerajaan Persekutuan sebagaimana tuntutan yang telah dibuat oleh Kerajaan Sarawak.
 
Sambungnya lagi, Petronas boleh memberikan keistimewaan kepada rakyat Kelantan untuk memegang beberapa jawatan penting.
 
Di samping itu juga, kata Nazri lagi peluang yang lebih besar boleh diberikan kepada Syarikat GLC Kelantan atau syarikat milik rakyat Kelantan untuk terlibat dalam industri petrokimia.
 
“Pihak Kerajaan Persekutuan dan Petronas tidak seharusnya terus menafikan hak rakyat Kelantan untuk mendapatkan haknya dengan memberi alasan kes tuntutan royalty masih di dalam perbicaraan mahkamah,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 24/10/2016

Share on Myspace