Campur tangan Umno punca syarikat tarik diri

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini mendedahkan campur tangan politik menjadi acara punca sebuah syarikat menarik daripada membina lebuh raya rakyat di Machang.

Syarikat itu milik Kementerian Kewangan dikatakan menarik daripada meneruskan pembinaan lebuh raya tersebut sejauh 10 km selepas menggantikan syarikat lain sebelum ini.

Syarikat Jambatan Kedua Sdn Bhd merupakan anak syarikat milik Kementerian Kewangan tidak dapat meneruskan projek berkenaan selepas mendapat desakan Umno.

“Projek itu berjalan lancar, tiba-tiba ada gangguan. Gangguan bukan kerana hantu dalam bukit, sebaliknya pemimpin Umno dalam Dewan ini pun tahu mengenainya.

“Ada desakan daripada Umno menyebabkan syarikat itu menarik diri biar pun kemajuan projek sudah 15 peratus sehingga akhir September lepas,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur,Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Hanifa Ahmad ketika menjawab soalan Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN-Ayer Lanas).

Campur tangan Umno terbabit juga difahamkan ada kebimbangan projek lebuh raya rakyat siap lebih awal berbanding projek serupa dibina kerajaan pusat di Kota Bharu.

Hanifa berkata, sekiranya projek tersebut masih dijalankan syarikat terbabit kemajuan projeknya boleh mencapai 30 peratus.

Menurutnya syarikat itu yang memohon menarik diri menyebabkan kerajaan negeri terpaksa akur dengan kehendak mereka.

Bagaimanapun projek sekarang diteruskan syarikat lain Teguh Kualiti – China Railway Eleven sebagai kontraktor utama menggantikan Jambatan Kedua.

“Kita yakin projek berkenaan akan siap mengikut jadual iaitu pada Mac 2018 biar pun syarikat lain yang meneruskan projek berkenaan sekarang,” katanya.

Rosli Ismail (PAS-Kemuning) sebelum itu meminta penjelasan kerajaan berhubung status projek dilaksanakan Jambatan Kedua selepas kerja-kerja pembinaan dihentikan Ogos lepas.

Hanifa juga menjelaskan kontraktor yang terbabit pembalakan di Berangan Mek Nab telah membayar denda sebanyak RM100,000 kepada Jabatan Perhutanan kerana pembalakan dilakukan melepasi sempadan ditetapkan. - HARAKAHDAILY 24/10/2016

Share on Myspace