YDPA: Dun Kelantan rakam ucapan tahniah

MUHAMMAD ARIF ISMAIL | .

KOTA BHARU: Dewan Undangan Negeri Kelantan hari ini merakam ucapan tahniah dan menjunjung kasih kepada Sultan Muhammad V di atas pelantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong mulai 13 Disember hadapan.

Tiga wakil rakyat membahaskan usul yang dibawa Adun Kadok, Azami Mohd Nor. Mereka iaitu Adun Tawang, Datuk Hassan Mohamood, Adun Salor, Datuk Husam Musa dan Adun Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, pemilihan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 sebagai pelantikan yang membanggakan rakyat Kelantan.

"Besar sekali harapan rakyat untuk bernaung di bawah gaya pemerintahan baginda yang berpandukan kepada syariat Allah.

"Dalam konteks Kelantan, mudah-mudah segala manfaat dari negeri ini dapat dinikmati semua rakyat di negara ini," katanya ketika menggulung perbahasan usul terbabit pada persidangan Dun.

Sultan Muhammad V dipilih Majlis Raja-Raja Melayu mengantikan Tuanku Abdul Halim ibni Almarhum Sultan Badlishah. – HARAKAHDAILY 24/10/2016

Share on Myspace