Heret dalang pencemaran air ke muka pengadilan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Negeri Sembilan serta agensi persekutuan perlu memperkukuh kerjasama bagi mengheret dalang pencemaran air ke muka pengadilan.

Walaupun kecewa dengan pencemaran air berulang, beliau sekali lagi menegaskan punca pencemaran bukan dari Selangor sebaliknya di Hulu Sungai Buah yang berada di Negeri Sembilan.

“Semua punca pencemaran ini berada di dalam Negeri Sembilan, bukan Negeri Selangor. Hulu Sungai Buah berada di Negeri Sembilan.

“Aliran Sungai Buah ini masuk ke Sungai Semenyih menyebabkan ia mengganggu Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih, maka kita terpaksa menutup loji rawatan itu,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau menyatakan pada sidang media selepas melawat kerja penyedutan air keluar yang dilakukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Air Selangor di Kampung Sungai Buah, Dengkil.

Hasil tinjauan dan siasatan yang dilakukan pasukan LUAS dan Air Selangor semalam menemui punca bau pada jam 1.50 petang berhampiran R&R Nilai arah utara.

Punca bau ‘solvent’ yang kuat ditemui di aliran anak Sungai Buah di lereng bukit KM45.9, Lebuhraya Elite, pada jam 6.10 petang.

Bacaan tertinggi pada kadar 22 ton pula dikesan di Memorial Park, Nilai.

Beliau berkata, kelewatan JAS Negeri Sembilan yang mula mengumpul maklumat pagi ini walaupun JAS Selangor sudah memaklumkannya semalam turut mendukacitakan kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri bersedia untuk bekerjasama dengan jabatan dan agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, Jabatan Alam Sekitar Selangor dan SPAN selain mengharapkan ia (kerjasama) dapat dipertingkatkan.

“Ini bukan ‘blame game’. Kita tidak menyalahkan mana-mana pihak tetapi mahu kordinasi yang mantap supaya pelaku pencemaran ini dikenakan tindakan paling keras dan tegas,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sudah mengambil tindakan dalam ruang lingkup sedia ada dan mengharapkan JAS mengemukakan laporan lengkap serta bukti kepada Jabatan Peguam Negara untuk pendakwaan lanjut.

Sementara itu, LRA Sungai Semenyih sudah kembali beroperasi pada jam 5.00 pagi hari ini sejak ditutup jam 7.30 pagi semalam bagi membolehkan 1.8 juta pengguna menikmati semula perkhidmatan air secara berperingkat.

Share on Myspace