Penduduk lapor SPRM tanah diambil pemaju

IZWAN ABDUL HALIM | .

MIRI: Permohonan penduduk agar kawasan kediaman mereka diwartakan sebagai tanah kampung tradisional sejak 23 tahun lalu bukan sahaja tidak dilaksanakan, tetapi kini diserah kepada pihak lain untuk dimajukan.

Menyedari berlaku kecurangan dalam tindakan tersebut, penduduk kampung tampil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diketuai Pengerusi Kampung, Yahya Timbon.

Laporan itu menggesa agar SPRM membuka kertas siasatan kemungkinan wujud salah guna kuasa oleh pihak berautoriti sehingga tanah mereka diserahkan kepada pemaju.

Surat arahan atau saman oleh pemaju dan surat arahan daripada Penghulu Bakam, Adam Bujang turut diajukan dalam laporan tersebut.

Menurut Penyelaras PAS Dun Lambir, Mohammad Arifiriazul Paijo, beliau dikhabarkan tanah yang didiami seramai 200 penduduk telah diserahkan kepada pemaju iaitu Parabena.

Turut dipersoalkannya apabila Surau Tukau Jaya yang telah diluluskan kerajaan negeri dengan jumlah peruntukan RM300,000 juga tidak diteruskan.

Perkara tersebut turut disahkan oleh wakil penduduk yang telah bertemu pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai perkembangan projek tersebut.

Bagaimanapun penduduk dimaklumkan ia ditangguhkan atas sebab-sebab tertentu yang difahami sebagai arahan politik.

Hadir sama pada laporan ke SPRM itu ialah Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee dan Pengerusi Penaja PAS Kawasan Sibuti, Butir Bakar. – HARAKAHDAILY 25/10/2016

Share on Myspace