Hina Sultan: Pekida Kelantan tiada kaitan Olostt Siso

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Kelantan (Pekida) telah membuat laporan polis terhadap seorang pemilik akaun laman sosial (facebook) Olostt Siso.

Laporan polis itu dibuat Mudzahar Makhtar, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu kira-kira jam 11.45 pagi semalam kerana menghina Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke V yang mengaitkannya dengan Pekida.

Pemilik akaun berkenaan dalam laman sosialnya berkata, ‘Demi Allah, Sultan Kelantan aku bersumpah kalau hancurkan bangsa Johor ataupun kau rampas identiti aku sebagai ayahanda Pekida aku orang pertama akan melaknat kau sebagai kaum yang kufur serta munafik.  Aku imam mahdi Pahang Darul Makmur, amin’.

Turut hadir sewaktu laporan polis itu dibuat, Setiausaha-Setiausaha Ayahanda Pekida Negeri Kelantan dan Ketua Pakida Negeri Kelantan Ayahada Zainudin Ahmad.

Setiausaha Ayahanda-Ayahanda Pekida, Drs Zainuddin Awang Hamad ketika ditemui berkata, Pekida langsung tidak ada kaitan dengan akaun facebook Olostt Siso.

Katanya, pihaknya yakin ia akaun palsu memandangkan nama dan gambar profil yang digunakan tidak jelas.

“Kita tidak mengetahui identiti pemilik akaun tersebut yang sebenarnya sama ada orang Melayu atau dari bangsa lain kerana menggunakan nama samaran,” ujarnya.

Katanya, Pekida Kelantan khususnya memohon pihak polis membuat siasatan segera berhubung perkara itu.

“Kita minta pihak polis mengambil tindakan terhadap pelaku sama ada dengan minta maaf atau membayar ganti rugi kerana telah merosakkan imej Pekida,” ujarnya lagi.

Beliau seterusnya memberitahu, Pekida Kelantan dan Pekida Malaysia telah berusaha membersihkan nama yang telah disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

Kata Zainuddin lagi, pihaknya berharap polis membuat siasatan terperinci berkaitan perkara itu apatah lagi baginda akan mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong Disember ini. – HARAKAHDAILY 25/10/2016

Share on Myspace