Kebakaran HSA: Orang ramai diminta tidak buat spekulasi

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah meminta orang ramai tidak membuat spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak tepat mengenai kebakaran yang berlaku di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, pagi ini.

Beliau menyatakan demikian menerusi laman facebook, sebentar tadi, sebagaimana di bawah.

Dukacita dimaklumkan bahawa satu kebakaran sedang berlaku di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Pihak Bomba telah dan sedang menjalankan tugas menyelamat dan dalam proses untuk mengawal kebakaran dari merebak.

Saya dimaklumkan bahawa terdapat mangsa akibat kejadian ini, termasuk di kalangan pesakit dan staf; namun status dan maklumat terkini kejadian akan dimaklumkan dari masa ke semasa. Pesakit lain adalah sedang dalam proses dihantar ke hospital-hospital lain berdekatan Johor Bahru, terutamanya Hospital Sultan Ismail.

Diminta orang ramai untuk tidak membuat spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak tepat mengenai perkara ini. Semoga keadaan ini dapat dikawal daripada merebak dan didoakan agar para pesakit dan warga HSAJB berada dalam keadaan selamat. - HARAKAHDAILY 25/10/2016

Share on Myspace