NGO Umno persenda penstrukturan air di Kelantan

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Mungkinkah NGO Umno tidak sedar mereka seperti mempersendakan persetujuan kerajaan pusat menandatangani penstrukturan projek bekalan air di Kelantan, apabila berterusan melakukan demontrasi?

Sedangkan penstrukturan itu ditandatangani antara Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan Perbadanan Aset Air Negara (PAAB) pada 14 September lepas (foto atas).

Perjanjian berkenaan selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air yang dikuatkuasakan pada 2008.

Bagaimanapun NGO tersebut sekali lagi semalam mengadakan perhimpunan di hadapan Kompleks Kota Darulnaim bagi mendesak kerajaan negeri merombak pengurusan AKSB kerana didakwa gagal menyelesaikan bekalan air.

Perhimpunan itu dianjurkan Badan Bertindak Restorasi Air Kelantan (Restorasi) diketuai pengerusinya, Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani kira-kira jam 3.15 petang semalam.

Difahamkan mereka memohon permit bagi mengadakan perhimpunan sehari di hadapan Kota Darulnaim, namun tidak dibenarkan pihak berkuasa.

Mohd Fared berkata, pihaknya tidak akan berhenti membuat gesaan itu selagi kerajaan negeri tidak memenuhi hasrat dikemukakan mereka. - HARAKAHDAILY 25/10/2016

Share on Myspace