Bajet 2017, mana sumber pendapatan baru?

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Selangor melihat dengan Bajet 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 21 Oktober baru-baru ini yang bertemakan "Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh" tidak menyatakan secara perinci sumber pendapatan baru negara.

Menurut Pengerusinya Dauk Seri Mohamad Badri Abdul Rahman, perkara ini amat membimbangkan kerana tanpa sumber pendapatan baru negara, akan menyebabkan Bajet 2017 tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.

"Sebagai sebuah kerajaan yang telah lama memerintah Malaysia sepatutnya mempunyai mekanisma baru dalam memastikan negara ini mempunyai sumber pendapatan baru bagi menampung keperluan kewangan negara.

"Ikatan Selangor melihat kerajaan hanya tertumpu kepada cukai yang dikenakan terhadap golongan korporat dan juga individu," katanya kepada Harakahdaily.

Jelasnya, tindakan yang tidak proaktif dalam menambah keperluan kewangan negara menyebabkan rakyat akan terus terbeban dengan pelbagai tekanan ekonomi di masa akan datang.

Ikatan Selangor menjangkakan kerajaan akan mengalami kesukaran dalam merealisasikan segala perancangan yang ditetapkan dalam Bajet 2017 jika hanya melihat pada satu sudut sahaja iaitu pendapatan negara hanya diperolehi melalui cukai yang dikenakan.

"Rakyat sebenarnya ingin mendapat faedah melalui bajet yang dibentangkan itu, mereka ini melihat ada sumber baru diperolehi serta taraf kehidupan mereka meningkat pada tahun hadapan," kata beliau.

Beliau turut menyifatkan tahun 2017 merupakan tahun yang mencabar kepada kehidupan rakyat apabila mereka bukan sahaja terus dibebani dengan cukai tetapi terpaksa berdepan dengan kenaikan harga barang.

Dengan jumlah peruntukan pada 2017 sebanyak RM262.8 bilion iaitu RM214.8 bagi perbelanjaan mengurus, RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan serta simpanan luar jangka RM2 bilion.

Tambah beliau, ia merupakan satu angka yang agak besar, pasti ada pelan tindakan luar jangka dari kerajaan dalam memastikan angka tersebut dapat dipenuhi sepenuhnya.

"Apakah rakyat akan menghadapi pemotongan subsidi ataupun terdapat perbentangan Bajet Tambahan awal tahun 2017 untuk mencari langkah baru dalam merealisasikan peruntukan 2017 dipenuhi, apakah GST yang tidak dinaikan akan diumumkan kadar baru pada Bajet Tambahan nanti," soal beliau. – HARAKAHDAILY 25/10/2016

Share on Myspace