Hutang syarikat besar hapus, hutang PTPTN diburu

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff mempersoalkan tindakan kerajaan menghapus kira hutang syarikat-syarikat besar sebaliknya bertindak memburu hutang PTPTN pelajar.

"Kenapa syarikat-syarikat besar disusukan dengan hapus kira hutang, tetapi pelajar kita terus terbeban," soalnya.

Katanya, Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan tunggakan bayaran balik hutang oleh pinjaman pelbagai agensi kerajaan sehingga akhir 2015 berjumlah RM 9.954 bilion.

Jelasnya, tunggakan bayaran balik pinjaman Syarikat Pewaja Terengganu Sdn Bhd berjumlah RM793.81 juta yang mana kerajaan memutuskan untuk menyediakan peruntukan hapus kira  berjumlah RM100 juta setiap tahun dan dijangka selesai tahun 2027.

"Bagaimana dengan hutang PTPTN anak-anak muda kita yang sudah tamat belajar masih belum dapat pekerjaan (25% graduan kita masih menggangur).

"Mereka disenarai hitamkan, tidak boleh keluar negara, tidak boleh buat pinjaman bank kerana masih ada tunggakan hutang PTPTN," katanya kepada Harakahdaily.

Kementerian Kewangan telah meluluskan hapus kira baki pinjaman Mimos Berhad sebanyak RM12 juta pada 29 Oktober 2015.

Kementerian Kewangan juga telah hapus kira baki faedah pinjaman Lebuhraya Shapadu Sdn Bhd (LSSB) sebanyak RM33.49 juta. – HARAKAHDAILY 25/10/2016

Share on Myspace