Gaji permulaan doktor dicadang bermula gred 48

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

KUALA LUMPUR: Mutu perkhidmatan sistem hospital kerajaan harus dipertingkatkan dari segi bilangan doktor pakar, langkah meningkatkan gaji doktor pakar penting, demikian disuarakan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Ustaz Idris Ahmad di sidang parlimen.

Jelasnya, beliau pernah mencadangkan agar gaji permulaan doktor pakar bermula pada gred 48 bukan 44 bahkan berada pada JUSA supaya terus konsisten dengan kerajaan.

Idris berkata, tempoh pengajian bidang perubatan selama enam tahun adalah tempoh yang panjang bahkan Housemanship pula bertaraf kontrak sahaja.

"Ini sebagai suatu motivasi kepada pelajar perubatan untuk berkhidmat dengan kerajaan.

"Jika melihat ketiadaan doktor pakar maka pengguna akan memilih perkhidmatan hospital swasta dan ini menjadi satu bebanan bagi rakyat luar bandar apatah lagi mereka tiada mempunyai polisi skim insuran.

"Saya mencadangkan supaya pihak kerajaan untuk terus berusaha meningkatkan bilangan doktor pakar bagi mengurangkan tempoh yang lama untuk menerima rawatan di hospital," ujarnya.

Beliau mengharapkan agar kerajaan memandang serius perkara tersebut kerana sebagai langkah meningkatkan mutu perkhidmatan hospital kesihatan kerajaan serta kehidupan rakyat.

Menurut Idris, rakyat yang sihat akan memberikan satu hasil terbaik kepada negara. – HARAKAHDAILY 26/10/2016

Share on Myspace