Bajet 2017 tiada perancangan khusus keperluan OKU?

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

KUALA LUMPUR: Berdasarkan pembentangan Bajet 2017 tiada perancangan strategik khusus kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), persoalan yang wujud bagaimana bentuk kesungguhan kerajaan membela golongan tersebut.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata demikian ketika membahaskan Bajet 2017 di dalam sidang parlimen.

Katanya, jika di negara maju golongan kelainan upaya merupakan golongan diberikan keutamaan seiring dengan Malaysia yang dikenali sebagai negara Islam, agama persekutuannya Islam maka wajar ia diberikan penekanan dalam kehidupan.

Beliau mencadangkan kepada pihak kerajaan berkaitan elaun dan bantuan kendiri supaya elaun pekerja cacat dinaikkan daripada RM350 sebulan kepada RM550 sebulan.

"Ini kerana melalui dialog pihak komuniti OKU dan kementerian kenaikan ini telah dipersetujui walaupun alasan biasa disebutkan tiada peruntukkan.

"Alasan ini biasa kita dengar, sedangkan pada masa yang sama kos pembinaan Taman Tugu Negara berjumlah RM650 juta. Dalam keadaan ini sewajarnya wang tersebut perlu diberikan kepada keperluan yang lebih utama.

"Bagi ibu bapa yang bekerja dan mempunyai anak OKU memperoleh insentif cukai tetapi bagaimana pula ibu bapa yang tinggal di kampung tanpa pekerjaan menjaga anak-anak OKU, mereka wajar diberikan RM550 kepada mereka," ujarnya.

Idris berkata, kerajaan perlu memudahkan sebarang urusan berkaitan OKU. Contohnya setiap OKU perlu memperbaharui pendaftaran mereka sehingga hal ini menyusahkan mereka pula.
 
Tambahnya jika perlu, pegawai yang menguruskan turun ke lokasi tertentu dan OKU tidak perlu memperbaharui setiap tahun.

Beliau juga menyarankan agar pihak kerajaan menyediakan tapak perniagaan dan menghimpunkan usahawan OKU di setiap bandar seperti kewujudan wakaf orang buta yang pernah diwujudkan satu ketika dahulu.

"Mengadakan kouta khusus kepada usahawan atau profesional yang terdiri daripada kalangan OKU untuk mendapat kerja sama ada di sektor kerajaan atau GLC.

"Meningkatkan pengambilan OKU dalam sektor awam terutama dalam posisi pembuatan polisi di syarikat-syarikat berkaitan dengan GLC.

"Memperuntukkan sejumlah dana bagi pendidikan berkaitan OKU  yang mampu memberi manfaat kepada pembangunan OKU secara holistik dan inklusif," cadang beliau kepada sidang dewan. – HARAKAHDAILY 26/10/2016

Share on Myspace