Sindiket pekerja asing punca pengangguran anak muda

HARAKAHDAILY | .

Saya dikhabarkan bahawa terdapat satu serbuan yang dibuat oleh pihak Imigresen Terengganu terhadap kilang kimia yang terletak di Kawasan Perindustrian, Teluk Kalong, Kemaman pada petang semalam. Serbuan yang dibuat berikutan terdapat lebih 150 orang pekerja warga asing yang tidak diketahui statusnya bekerja di dalam sektor industri kimia (chemical plant) yang rata-ratanya bekerja di dalam kategori semi-skilled dan juga skilled worker seperti helper,  electrician dan juga welder. Susulan daripada operasi tersebut, pihak Imigresen berjaya menahan 157 pekerja asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar, Bangladesh, Indonesia serta Jepun yang berumur di antara 18 hingga 62 tahun. (sumber Berita Harian 25 Oktober 2016)

Saya mewakili PAS Terengganu mengucapkan syabas dan berterima kasih kepada pihak Imigresen khususnya yang telah pun menjalankan tugas dengan baik membanteras kegiatan kemasukkan warga asing yang tidak sah lebih-lebih lagi apabila melibatkan sektor industri kimia dan minyak dan gas yang saya kira merupakan sumber ataupun tempat untuk mencari rezeki bagi pekerja tempatan bagi golongan muda yang berada di kawasan sekitar juga di dalam negeri Terengganu ini khususnya.

Kalau kita lihat rekod kemasukan warga asing yang diambil daripada rekod akhbar Berita Harian pada 19 Oktober 2016, ianya sangat membimbangkan. Kira kira 41% daripada pekerja asing di negara ini adalah tanpa dokumen atau tanpa izin. Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot Jaem, setiap 10 pekerja asing yang sah, terdapat 7 lagi yang menyalahi undang-undang. Beliau juga berkata pada ketika ini terdapat 1.9 juta pekerja warga asing yang sah yang bekerja di negara ini dan pada tahun lalu beliau menyatakan bahawa kira kira 6.7 juta orang dianggarkan masuk secara haram dan tidak sah.

Ini adalah satu gejala yang parah dan kritikal kerana ia mampu memberikan kesan negatif kepada sosial ekonomi negara dan seterusnya boleh menyebabkan kadar pengangguran di kalangan pemuda dan juga warga tempatan meningkat dengan lebih parah. PAS Terengganu sentiasa komited dan memandang serius pada isu ini kerana ianya melibatkan ketidakstabilan ekonomi dan pembangunan sosial pada golongan remaja khususnya di Terengganu.

PAS Terengganu juga  berharap dan menyeru kepada pihak Kerajaan dan juga badan berwajib untuk terus bertanggungjawab memantau kontraktor-kontraktor yang terlibat yang sewenang-wenangnya menggunakan pekerja asing yang tidak sah di dalam sektor perindustrian di Kertih dan juga Kemaman.

Saya juga mendapat maklumat bahawa sebelum ini pekerja tempatan semi-skilled dibayar pada harga sekitar RM12-RM14 sejam akan tetapi kontraktor yang terlibat mengambil kesempatan membayar pada pekerja asing pada kadar yang sangat rendah iaitu RM8.00 sejam. Ini menyebakan peluang pekerjaan anak tempatan terkubur dan sekali gus menyebabkan kontaktor kecil-kecilan yang lain yang tidak terlibat tidak mampu untuk bersaing secara sihat dan professional.

PAS Terengganu juga menggesa kepada pihak kerajaan supaya lebih peka dan prihatin terhadap masalah ataupun suara anak tempatan, yang mana ramai di antara mereka kehilangan pekerjaan kerana faktor peluang pekerjaan yang agak tipis yang disebabkan oleh kemasukan warga asing di dalam industri kimia dan juga oil & gas.

Sewajarnya, Kerajaan Terengganu mesti segera menentukan polisi tertentu bagi memastikan keutamaan peluang pekerjaan untuk anak Terengganu di dalam sektor penting ini.

Sebelum mengakhiri, sekali lagi saya mewakili PAS Terengganu mengucapkan tahniah kepada pihak Imigresen Terengganu dan seterusnya menyeru kepada orang ramai supaya sama-sama kita membanteras kegiatan ini dengan melaporkan kepada pihak berwajib sekiranya terdapat mana-mana kontraktor yang terlibat yang menyalahi undang-undang dalam pengambilan pekerja asing yang tidak sah lebih lebih lagi apabila ianya berlaku di kawasan Kertih dan Kemaman. Kita semua perlulah mengambil peranan ini dan juga perlulah bertangungjawab kerana anak-anak Terengganu dan rakyat Malaysia sepatutnya diberikan keutamaan dalam mana-mana pekerjaan, kalau bukan untuk kita mungkin untuk anak-anak dan cucu kita. Wallahuaklam.

Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
25 Muharram 1438 / 26 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 26/10/2016

Share on Myspace