Bajet 2017 pinggirkan kepentingan rakyat Kedah

HARAKAHDAILY | .

Secara umumnya mungkin ramai yang terpesona dengan pembentangan Bajet 2017 oleh  Perdana Menteri apabila memperuntukkan RM260.8 billion, RM214.8 billion darinya adalah untuk perbelanjaan mengurus dan bakinya RM48 billion bagi perbelanjaan pembangunan.

Setelah diperinci, semua angka tersebut tidak lebih dari angka permainan silap mata untuk mengaburi mata rakyat. Keanehan dalam Bajet 2017 ialah Perdana Menteri hanya membentang perbelanjaan negara tanpa menjelaskan sumber pendapatan. Menyembunyikan sumber pendapatan menjadikan bajet tidak realistik.

Kedah adalah sebahagian dari Malaysia mengikut konsep federalisme. Kedah telah berkorban untuk tidak mengganggu kawasan tadahan air terhadap aktiviti yang memberi hasil kepada negeri demi mempastikan bekalan air mencukupi untuk kawasan sawah padi, yang menyumbang sebahagian besar sumber bekalan beras negara.

Namun seperti biasa, bajet kali ini masih belum menghargai pengorbanan Kedah untuk mendapatkan saguhati terhadapnya walaupun tuntutan RM100 juta setahun itu dibuat oleh Kerajaan Negeri Kedah sejak sedekad lalu.

Sekalipun rakyat dihidang dengan kenaikan KDNK PPP perkapita daripada USD23,000 tahun 2012 kepada USD 26,891, hakikatnya rakyat berada di bawah tahap keupayaan ekonomi sebenar apabila rakyat diajar bergantung kepada BR1M yang tidak dijelaskan secara spesifik jumlah penerimanya dalam Bajet.

Terkini rakyat terbeban lagi dengan kenaikan harga makanan. Rasionalisasi minyak masak nampaknya tidak membantu menurunkan harga makanan berasaskan minyak masak.

Bahkan para peniaga serta rakyat bawahan menjadi panik dengan kenaikan mendadak harga produk tersebut dan seperti biasa lanjutan dari situasi seperti itu, minyak pun 'lenyap' dari pasaran sehingga menyusahkan pengguna.

Itu sekadar satu sketsa keresahan rakyat berhubung langkah rasionalisasi kerajaan. Belum lagi diperincikan masalah berhubung rasionalisasi petrol, diesel, elektrik dan sebagainya - yang kesemuanya menyusahkan rakyat.

Sewaktu rakyat Kedah, khususnya penduduk Pendang, merasa 'majai' dengan dendangan Hospital Pendang yang diumumkan dalam Bajet tahun lalu yang belum menjadi kenyataan, kini Perdana Menteri mengumumkan pula pembinaan dan penambahbaikan hospital baharu yang lain.

Sampai bila rakyat harus dipermainkan? Bagaimana dengan projek Bandaraya Getah di Padang Terap yang tersenarai dalam Bajet tahun lalu? Jangankan batang cerucuk, pita pengukur pun khabarnya belum sampai ke tapak yang dicadangkan. Bagaimana pula dengan litar lumba motor tertutup yang dicanangkan dalam manifesto BN pada PRU13? Semuanya tampaknya belum muncul.

Justeru itu, PAS Kedah menuntut Perdana Menteri membetulkan semula perancangan dan pengagihan Bajet 2017 supaya lebih realistik serta memenuhi keperluan rakyat, khususnya rakyat Negeri Kedah yang menjadi antara penyumbang hasil negara melalui Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi
Pesuruhjaya PAS Kedah
26 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 26/10/2016

Share on Myspace