Pertemuan antara Dr Rozaimi dengan pemimpin PAS

WAN ROHIMI WAN DAUD | .

Suatu pertemuan santai antara Dr Rozaimi, YB Dr Juanda dan rakan-rakannya seramai 7 atau 8 orang bersama 3 orang pimpinan PAS iaitu YB Datuk Takiyudin Hassan, YB Ustaz Nasrudin Hassan dan YB Datuk Dr Khairudin Aman Razali telah berlangsung di Hotel Seri Pacific, 25 Oktober 2016 jam 5.00 petang. Pertemuan berlangsung dalam keadaan baik, mesra dan harmonis. Saya turut dijemput hadir sebagai pemerhati.

Konteks pertemuan adalah berkisar kepada isu yang tercetus daripada video ucapan Dr Rozaimi yang dilaporkan mendapat kritikan ramai apabila beliau bercakap mengenai isu RUU 355.

Dialog pertemuan itu lebih menjelaskan mengenai kenapa dan bagaimana PAS membawa RUU 355 ke Parlimen. Apakah langkah yang diambil oleh PAS dan apakah sikap PAS terhadap pihak yang tidak bersetuju.

Segalanya dijelaskan dengan baik dan terang oleh YB Datuk Takiyudin selaku Setiausaha Agung PAS dan YB Datuk Dr Khairudin At Takiri mengenai isu RUU 355. Beliau menjawab dengan tegas bahawa pendirian PAS yang sentiasa diulang-ulang bahawa PAS tidak menghukum, tetapi menerangkan hukum. PAS tidak pernah mengkafirkan sesiapa bahkan bersedia mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli atau pimpinan yang mengkafirkan muslim yang lain.

Dalam perbincangan yang melewati isu Hudud, YB Khairudin turut mengingatkan sekalian yang hadir bahawa Hudud itu milik Allah, Hak Allah! Sikap dan prinsip PAS bahawa setakat yang mampu dalam kerangka undang-undang yang sedia ada, memberikan hak Allah dengan cara berusaha melaksanakan syariat dan hukum Allah adalah WAJIB. Berusaha ke arahnya adalah WAJIB. Menyokongnya adalah juga WAJIB bagi orang Islam. Ini sikap PAS. Namun PAS tidak menghukum terhadap sesiapa jua yang mempunyai pandangan, ijtihad yang berbeza!

Satu persoalan menarik yang dilontarkan YB Khairudin bahawa "Jika Hudud itu Hak Allah, maka bukankah memberikan Hak Allah dengan berusaha melaksanakan perintah dan Hukum Allah adalah WAJIB bagi ummat Islam? Dalam kerangka undang-undang sedia ada, bukankah ia adalah wajib diusahakan? Sekurang-kurangnya bagi 3 kesalahan yang boleh dihukum dengan pindaan Akta 355". Semua terkesima dengan soalan ini!

Sehingga ke hujung pertemuan, Dr Rozaimi tetap dengan pendirian tidak bersetuju dengan RUU 355. Satu-satunya alasan Dr Rozaimi ialah kerana katanya "tiada keadilan apabila dalam kes yang melibatkan orang Islam dan bukan Islam (zina sebagai contoh) hanya orang Islam yang dihukum sedangkan bukan Islam terlepas". Dr Rozaimi menyandarkan pendapatnya kepada mazhab Syafie bahawa tidak boleh dikecualikan Islam dan bukan Islam. Katanya ia tiada keadilan dan tidak dilihat adil.

Hujahan ini kemudiannya disambut oleh YB Khairudin, yang meminta Dr Rozaimi melihat konteks perlembagaan. Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 2 Akta 355 sedia ada, secara jelas memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah hanya mempunyai kuasa ke atas orang Islam sahaja. Apa yang dicadangkan oleh Dr Rozaimi perlu melibatkan pindaan Perlembagaan atau Usul yang lain di bawah Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan. Ringkasnya RUU 355 tiada kaitan dengan perluasan bidangkuasa ke atas orang bukan Islam.

YB Khairudin juga menjawab khilaf mazhab berkaitan pemakaian Hudud ke atas orang bukan Islam, dengan menegaskam bahawa dalam keadaan wujudnya khilaf, maka pemerintah berhak menjadi kuasa pemutus lantas mengambil proses untuk mentaqninkan pendapat mazhab yang dipilih.

YB Ustaz Nasrudin pula di penghujung pertemuan selama sekitar sejam setengah itu telah menegaskan prinsip dan pendekatan yang diambil oleh PAS. Apa yang boleh saya rumuskan adalah berkaitan 2 perkara berikut:

(a) PAS berusaha untuk meyakinkan Ahli Parlimen supaya menyokong usul pindaan Akta 355 dan juga kepada orang ramai supaya memahami isu pindaan Akta 355 yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang ini. Bagi pihak PAS ia satu kewajipan dan satu tanggungjawab syarie yang perlu dan wajib diperjuangkan demi meletakkan syariat Islam dapat dilaksanakan semampu yang boleh.

(b) Namun kepada mereka yang menolaknya, maka PAS mengambil sikap untuk terus memberi penerangan dan berusaha meyakinkan mereka betapa usaha meminda Akta 355 ini wajib disokong tanpa mengambil pendekatan menjatuhkan hukum kafir dan sebagainya kepada mereka yang masih belum bersetuju. Pendekatan PAS ialah menerang dan berdakwah bukan menyerang dan menghukum. - HARAKAHDAILY 26/10/2016

Penulia ialah Pengarah Juham Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Share on Myspace