Pelabur asing tetap datang walau kurang infrastruktur

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Biarpun tidak banyak kemudahan infrastruktur seperti negeri-negeri lain namun Kelantan tetap menjadi tumpuan pelabur termasuk dari luar negara.

Kehadiran pelabur-pelabur tersebut bakal menyediakan ribuan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Perpaduan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan, Datuk Anuar Tan Abdullah berkata antara pelaburan besar diterima termasuk syarikat Rohm Wako Electronic Malaysia Sdn. Bhd.

Katanya syarikat terbabit sedang membesarkan kilang di Pengkalan Chepa yang dianggarkan membabitkan kos pembinaan sebanyak RM320 juta.

“Jumlah pelaburan itu belum lagi diambil kira kos mesin dan pelbagai peralatan lain yang dianggarkan melibatkan jumlah keseluruhan lebih RM500 juta,” katanya pada persidangan Dun hari ini.

Ketika menjawab soalan Datuk Ramzi Abdul Rahman (BN-Dabong) katanya, pembesaran kilang tersebut sehingga sekarang sudah lebih 80 peratus siap.

Menurutnya, apabila siap sepenuhnya pembesaran kilang Rohm Wako, dijangka dapat menyediakan lebih 1,000 peluang pekerjaan.

Selain itu kata beliau Sawit Raya Oil Sdn. Bhd pula membina kilang penapis minyak sawit dan pembungkusan minyak masak melibatkan kos RM216 juta di Pengkalan Chepa.

Anuar juga berkata, syarikat dari Australia pula akan membina kilang simen di Chiku 7, Gua Musang dijangka memulakan kerja-kerja pembinaan awal tahun hadapan.

Kilang simen terbabit melibatkan pelaburan RM1.38 billion usahasama antara Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) dengan Syarikat ASN Cement Sdn Bhd.

Kata beliau juga sebuah lagi syarikat dari China juga merancang memindahkan operasi kilang simen dari negara itu ke Kelantan tidak lama lagi.

“Mereka membuat kajian selama dua tahun di Malaysia termasuk juga lokasi di Langkawi, dan menemui bukit batu kapur putih di Gua Musang lebih sesuai.

“Sumber batu kapur bagi kegunaan kilang simen tersebut mampu bertahan sehingga 300 tahun,” katanya.

Menurutnya juga Ain Medicare Sdn Bhd juga akan membina kilang baru melibatkan pelaburan kira-kira RM300 juta. – HARAKAHDAILY 26/10/2016

Share on Myspace