Program agama terbukti dapat kurangkan kadar jenayah

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kejayaan kerajaan negeri menganjurkan pelbagai program keagamaan secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar jenayah di Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Datuk Nassuruddin Daud berkata program terbabit termasuk generasi solat dilaksanakan bagi meningkat kefahaman rakyat terhadap agama.

Katanya, apabila rakyat terutamanya generasi muda memahami tuntutan solat ia menjadi benteng daripada melakukan perkara yang menyalahi agama.

“Program smart solat yang membabitkan pelajar-pelajar sekolah dapat mengurangkan pembabitan jenayah dalam kalangan mereka.

“Ini dibuktikan kadar jenayah di jajahan Kota Bharu berkurangan tahun ini,” katanya menjawab soalan Wan Ubaidah Omar (PAS-Kijang) pada persidangan Dun hari ini.

Menurutnya juga sebanyak 427 kelas Generasi Solat diadakan di seluruh Kelantan tahun ini melibatkan seramai 13,936 pelajar.

Kata beliau kelas tersebut dikendalikan Bahagian Dakwah Halaqat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.

Nassurudin juga memberitahu pada tahun ini dan 2015 tidak ada kes lelaki mukalaf yang dilaporkan tidak menghadiri solat Jumaat di masjid.

Katanya, imam diberi tanggungjawab untuk mengarahkan seseorang lelaki sekiranya mereka didapati tidak hadir solat Jumaat supaya datang ke masjid.

“Buku kedatangan akan disediakan dan mesti ditandatanganinya. Namun bagi tempoh sepanjang tahun ini dan tahun lepas tiada kes lelaki tidak datang solat Jumaat.

“Boleh jadi semua orang lelaki datang solat Jumaat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/10/2016

Share on Myspace