Mustapa elak jawab projek pusat di Kelantan lambat

MUHAMMAD ARIF ISMAIL | .

 

Penstrukturan semula industri air ditandatangani antara Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan Perbadanan Aset Air Negara (PAAB) pada 14 September lalu.

KOTA BHARU: Adun Air Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed memuji usaha PAS merintis gaya politik matang dan sejahtera di negara ini.

Beliau berkata hasil kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan merancakkan lagi projek pembangunan di Kelantan termasuk penstrukturan industri bekalan air.

Begitu juga, katanya pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai, menaik taraf Lapangan Terbang Pengkalan Chepa dan pembangunan pelabuhan Tok Bali.

“Ia direalisasikan menerusi hubungan antara kedua-dua belah pihak di bawah Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (Ecer).

"Kita harus memelihara hubungan silaturahim ini agar kita semua dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Kelantan," katanya ketika membahas Bajet Kelantan 2017 pada persidangan Dun hari ini.

Bagaimanapun Mustapa yang juga menteri kabinet mengelak menjawab tindakan kerajaan pusat melambat-lambatkan pembinaan sesuatu projek biarpun pengambilan tanah sudah lama dilakukan kerajaan negeri.

Adun Melor, Dr Md Yusnan Yusof ketika mencelah ucapan Mustapa mempersoalkan banyak projek pembangunan sudah diselesaikan di peringkat kerajaan negeri belum dilaksanakan kerajaan persekutuan.

"Saya minta pandangan Air Lanas mengenai projek-projek persekutuan yang dilihat dilengah-lengah kerajaan pusat,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 25/10/2016

Share on Myspace