Pindaan Akta 355: PAS menerang bukan menghukum

NASRUDIN HASSAN | .

Usul Pindaan Akta 355 yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang YB Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melalui Rang Undang-Undang Ahli Persendirian semakin hari semakin menarik perhatian pelbagai pihak. Bukan sahaja parti politik bahkan NGO dan individu.

Uniknya, inilah satu-satunya Pindaan Akta yang dibahas secara terbuka kepada masyarakat di pelbagai peringkat sebelum ianya dibentang dan dibahas di Parlimen. Sedang pengalaman saya di Parlimen, ratusan akta telah dipinda melalui perbahasan dalam Dewan Rakyat tanpa melalui perbahasan awam malah tidak pun disedari oleh masyarakat awam. Tahu-tahu ia dibahas dan diluluskan di Parlimen.

Berbeza dengan Akta 355 ini. Usaha untuk memindanya demi memartabatkan Mahkamah Syariah dan memberi hak kepadanya menjatuhkan hukuman berdasarkan hukuman yang menepati Undang- Undang Syariat Islam, telah melalui jalan sukar dan berliku.

Pelbagai bantahan bermula dengan langkah mengheret pembawa usul YB DatukSeri Tuan Guru Abdul Hadi ke mahkamah, demonstrasi di hadapan parlimen, debat, wacana, dialog terbuka, penemuan tertutup dan sebagainya. Demikian juga pihak yang menyokong dengan pelbagai aksi, cara gaya dan pendekatan mereka. Pentas politik dan forum rakyat menjadi meriah dengan isu ini.

Malangnya kemeriahan ini tercemar dengan sikap keterlaluan dan melampau. Sama ada keterlaluan dalam menyokong mahupun melampau dalam menolak. Kedua-dua sikap ini merosakkan keharmonian bermasyarakat dan kemurnian berhujjah. Bila dan di manapun, sikap melampau dan keterlaluan ini menyusahkan. Namun ia sebuah realiti yang mesti depani secara bijak dan dewasa.

PAS mempertegaskan bahawa usaha meminda Akta 355 ini selayaknya bahkan sewajibnya disokong oleh Ahli Parlimen khas bagi yang beragama Islam. Justeru pindaan ini bermaksud memberi hak kepada Mahkamah Syariah agar boleh menjatuhkan hukuman menepati Undang-Undang Syariat Islam. Bukankah Allah SWT berfirman:

وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِن تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ

Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik. (Surah Al Maaidah: 49)

Dasar, prinsip dan teknikal yang berbangkit sekitar usaha meminda Akta 355 bagi maksud memartabatkan Mahkamah Syariah akan diperjelaskan dari masa ke semasa oleh PAS tanpa bosan dan insya allah kita bersedia menemui siapa jua pihak yang ingin mencari kebenaran.

Adapun pihak yang hanya mahu mencari populariti murahan, rating di facebook, kelemahan yang mahu dieksploit, debat yang melampau, spin dan sebagainya, biarlah mereka tenggelam dalam keseronokan dan hanyut dalam keghairahan mereka membohongi dan memperbodohkan diri sendiri. Sementara mereka yang berlapang dada, bersikap terbuka, ikhlas dan jujur dalam perbincangan dan persahabatan, maka kita rakamkan setinggi-tinggi tahniah jua penghargaan.

PAS akan akan terus melangkah dengan cara dan pendekatan tersendiri untuk memahamkan ummah terhadap apa yang diperjuangkan. Meredah kabut kejahilan, mengharung badai cabaran dan menongkah rintangan yang menghalang dengan penuh sabar, tabah dan tekun.

Membudayakan Politik Matang dan Sejahtera dengan bercirikan Politik Dakwah dan Amar Makruf Nahi Mungkar, maka PAS bersikap terbuka bertemu dengan siapa jua, mendengar pandangan, menerima kritikan dalam usaha membawa Islam dan apa yang diperjuangkannya.  

PAS menerang tidak menghukum. PAS berdakwah dan melunakkan madu'u (sasaran dakwah) bukan menjauh dan meliarkan mereka. Kita pendakwah bukan qadi. Jauhkan diri dari kafir mengkafir dan label yang tidak selayaknya sesama ummat Islam.

Sebaliknya terus berusaha tanpa letih untuk memahamkan ummah dan membimbing mereka biarpun mereka menentang dan tidak bersetuju dengan apa yang kita perjuangkan selama mana mereka tidak bertindak zalim dan melampau atau bertindak keras ke atas kita. - HARAKAHDAILY 26/10/2016

Share on Myspace