Persekutuan dialu-alukan tiru program Selangor

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Langkah Kerajaan Persekutuan meniru program untuk rakyat yang dilaksanakan Kerajaan Selangor dialu-alukan ekoran langkah itu membolehkan rakyat seluruh negara memperolehi manfaat daripada idea dirintis Kerajaan Pakatan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, dengan cara itu sekurang-kurangnya memaksa Kerajaan Persekutuan mengeluarkan peruntukan lebih besar untuk membangunkan program rakyat bagi menyaingi kerajaan negeri.
 
“Memang ada program tertentu yang mahu dilaksanakan Kerajaan Persekutuan telah pun dilakukan kerajaan negeri.

“Kita bukan sahaja tak hairan perkara ini, malah kita mengalu-alukan Kerajaan Persekutuan tiru kerana perkara itu baik dan saya rasa tak ada masalah,” katanya dipetik SelangorKini.

Jelasnya, keadaan ini membuktikan Kerajaan Selangor sentiasa berada di hadapan dalam merintis idea dan program yang mampu memberi kesejahteraan kepada rakyat terbanyak.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan mengambil langkah meniru beberapa progam kerajaan negeri, antaranya melaksanakan projek perumahan mampu milik, membiayai kerja baik pulih dan mencantikkan bangunan pangsapuri, skim sewa beli rumah, skim khairat kematian, program pemberian air percuma dan banyak lagi.

Share on Myspace