Islam mesti memimpin

HARAKAHDAILY | .

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin

“ISLAM itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.” Itulah pesan Nabi Muhammad SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Daruquthni dan Baihaqi. Amat jelas sekali Rasulullah SAW meletakkan Islam sebagai agama Allah SWT mengatasi semua sistem dan cara hidup yang lain dari Islam.

Bahkan Allah SWT telah menegaskan kepada kita dalam al-Quran bahawa Islam adalah satu-satunya cara hidup yang diterima di sisi Allah. Memilih cara hidup selain dari Islam akan menyebabkan seluruh amal kita tidak diterima oleh Allah SWT. Demikian itulah tingginya Islam.

Sebagai sebuah gerakan Islam, PAS semenjak ia ditubuhkan pada 1951 untuk melanjutkan perjuangan Rasulullah SAW, telah meletakkan Islam sebagai dasar perjuangannya. PAS mempertahankan Islam sebagai dasarnya yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah kerana ia adalah cara hidup yang tertinggi untuk manusia.

Setelah lebih 60 tahun di pentas perjuangan, PAS terus istiqamah mengajak umat Islam di negara ini untuk terus berpegang dengan Islam. Apa yang penting bagi PAS sekarang adalah untuk memainkan peranan bagi membawa dan memimpin manusia mengikuti al-Quran dalam hidup mereka.

Alhamdulillah, Kerajaan PAS Kelantan sejak zaman Tuan Guru Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat (1990-2013) telah memulakan perubahan dengan menjadikan Islam sebagai dasar hidup. Kelantan telah haramkan judi dan riba, perkenalkan undang-undang syariah, hapuskan rasuah dan lain-lain. Kenapa Menteri Besar negeri lain yang juga beragama Islam, tapi mereka tidak ikut apa yang diperintah oleh Allah?

Kita sebenarnya mahu tunjukkan contoh bagaimana Islam memimpin. Kita tahu, beberapa langkah yang telah kita mulakan di Kelantan telah diikuti oleh Kerajaan Pusat dan juga beberapa buah negeri. Inilah satu bukti bahawa Islam boleh memimpin. Dulu ramai orang tidak yakin dengan sistem kewangan Islam, walaupun Bank Islam sudah ada sejak 1983.

Apabila Kelantan tidak membenarkan perbankan riba beroperasi di sana, sistem perbankan syariah terpaksa diperkenalkan pada 1994 dan hari ini ia telah berkembang pesat dengan orang bukan Islam menjadi pelanggan utama. Ertinya Islam boleh diterima oleh orang bukan Islam, termasuk memimpin sistem kewangan mereka.

Dalam masalah politik, PAS pernah memimpin Gerak pada 1998, dan semua orang mengakui kepemimpinan Islam sehingga al-Marhum Ustaz Datuk Fadzil Mohd Noor begitu dihormati. Malangnya, DAP telah menolak Negara Islam yang dibawa oleh PAS pada 2001 sehingga ia terkeluar dari Barisan Alternatif (BA). Dan model Pakatan Rakyat (PR) yang tidak dipimpin oleh Islam juga telah gagal bertahan.

Kerjasama politik atau tahaluf siyasi mesti dibina berdasarkan Islam, dipimpin oleh Islam dan mesti menerima Islam sebagai pemimpin. Kerjasama politik mestilah berasaskan ‘hablullah’ (tali Allah) yakni Islam. Sekiranya mana-mana pihak tidak mahu terima Islam, ia tidak boleh bekerjasama dengan PAS. Cukuplah PR menjadi pelajaran untuk kita!

Hari ini pun, para ulamak masih cenderung membincangkan isu-isu khilafiyah yang tidak berkesudahan. Yang tidak boleh berselisih hanya dalam perkara ijmak. Mengapa dibesarkan perkara boleh berselisih? Bukankah kita bersepakat bahawa syariat wajib ditegakkan? Hentikanlah isu khilafiyah, dan marilah kita mendukung usaha meminda Akta 355 atas nama Islam. Kita diperintah berpegang dengan tali Allah.

Saya sangat sedih dengan perkembangan umat Islam hari ini. Nah! Lihat sahaja apa yang berlaku di Syria. Pemimpin Syiah berperang dengan rakyat Sunni sudah lebih lima tahun dan setengah juta orang telah terkorban. Di tangan masing-masing ada al-Quran, tetapi tidak mahu mengikuti perintah Allah. Al-Quran memerintahkan supaya kembali Allah dan Rasul dalam semua perselisihan, tetapi ia tidak berlaku. Akhirnya, Amerika dan Russia yang mengaturkan pelan damai mereka. Sungguh memalukan!

PAS perlu memainkan peranan dalam keadaan seperti ini. Walaupun kita kecil, tetapi dengan Islam kita boleh memimpin dan menyelesaikan semua masalah. Sebelum ini sudah banyak pihak yang memimpin pembangkang, tetapi gagal. Sekarang inilah masanya, PAS dengan Islam memimpin pembangkang. Siapa yang mahu kepada perubahan datang kepada PAS dan terimalah Islam sebagai pemimpinnya, pasti kita akan berjaya. Sesiapa yang tidak mahu dipimpin oleh Islam, silalah mencari haluan sendiri tanpa PAS.

Islam sebagai cara hidup yang suci telah membuktikan keupayaannya memimpin sehingga dapat mengubah masyarakat Arab Jahiliyyah menjadi ‘khair ummah.’ Kemudian Islam memimpin dunia menerajui perubahan sehingga dunia menjadi begitu maju dan moden hari ini. Tinggal lagi keyakinan umat Islam untuk mengembalikan kepemimpinan kepada Islam. Serahkan kepada Islam untuk memimpin, pasti kita akan mencapai kejayaan dunia dan akhirat.

Share on Myspace