TG Presiden PAS bahas Bajet 2017, perjelas RUU 355

HARAKAHDAILY | .

Alhamdulillah, tengah hari tadi tibalah giliran YB Marang, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang membahaskan Bajet 2017. Fokus ucapan beliau ialah mengenai RUU 355, GST dan TPPA.
Ucapan beliau sememangnya dinantikan sepertimana ramai yang tengah menunggu bilakah Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta 355 dibahaskan?
Saya kongsikan di sini intipati utama ucapan perbahasan beliau:

Pada tepat jam 12.45 tengah hari, Tuan Guru Presiden memulakan ucapan dengan membaca Firman Allah, dalam Surah Al  Maidah ayat 2 yang bermaksud: "Bertolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan jangan sesekali bertolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan."

Segala perancangan yang dilakukan oleh manusia mesti mempunyai kelemahan, ada perkara yang positif dan ada yang negatif. Kita menyokong perkara yang positif seperti meluluskan peruntukan untuk jentera kerajaan, keamanan, dan keselamatan demi kepentingan negara dan rakyat umum.

Pada masa sama, kita perlu mengambil kira kelemahan yang berlaku seperti kebocoran, salah laku, dan sebagainya yang perlu diambil tindakan sewajarnya agar bukan sahaja duit yang selamat tetapi rakyat dan negara ini selamat.

Bagi mencapai tujuan itu, Islam berpandukan Al-Quran mengemukakan asas yang kukuh sepertimana Firman Allah dalam Surah Al Haj ayat 41 yang bermaksud: "Orang-orang yang kami berikan kuasa pemerintah di muka bumi, di dalam negeri, mereka hendaklah mendirikan solat, menunaikan zakat, amar  makruf nahi mungkar, kepada Allah segala urusan."

Kita membina negara dalam keadaan masyarakat majmuk berbilang kaum. Ini tidak menjadi masalah walaupun ianya diwujudkan oleh penjajah untuk melaga-lagakan kita.Ia dapat disempurnakan sekiranya kita menerima realiti manusia sejagat hidup bermasyarakat.

Semua orang menerima Rukun Negara:

a) Kepercayaan kepada Tuhan
b) Kesetiaan kepada Raja dan Negara
c) Keluhuran Perlembagaan
d) Kedaulatan Undang-Undang
e) Kesopanan dan Kesusilaan

Kita telah meletakkan asas yang kukuh iaitu Perkara 3 (1) Perlembagaan; “Islam ialah agama bagi Persekutuan ; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan”.

Almarhum Profesor Ahmad Ibrahim ada menulis dalam buku yang bertajuk "Islam dalam Perlembagaan", yang memetik minit Suruhanjaya Reid yang berbincang mengenai Artikel 3 (1) setelah mengambil kira memorandum yang dihantar oleh Parti Perikatan.

Pada era menjelang kemerdekaan, PAS sudah ada 1 kerusi menjadi pembangkang dalam keadaan parti pembangkang lain belum pun wujud.

Al-Quran ada mengatakan tidak ada paksaan dalam beragama kerana ia kepercayaan di dalam hati yang tidak boleh dipaksa.

Al-Quran juga menyebut "sekiranya orang bukan Islam itu mahu berhukum dengan hukuman mereka sendiri, mereka tidak dipaksa."

Tuan Guru Presiden menzahirkan dukacita apabila beliau mengemukakan usul persendirian bagi meminda Akta 355, timbul desas-desus dan ucapan yang sangat negatif.

Sepatutnya kita menerima apa yang sudah ada di dalam Jadual Kesembilan, Perlembagaan mengenai kuasa negeri. islam termasuk dalam kuasa negeri.

Usul yang dikemukakan adalah mengenai Mahkamah Syariah yang melibatkan orang Islam sahaja, tidak ada kaitan dengan orang bukan Islam. Akta ini diluluskan pada tahun 1965, Singapura masih ada dalam Malaysia. Mendiang Lim Kuan Yew berada dalam Parlimen, tidak ada apa-apa bantahan.

Pada tahun 1984, ia dipinda dengan tidak ada apa masalah yang berlaku.

Namun, apabila saya mengemukakan hal ini telah timbul masalah sehingga boleh menghasilkan salah faham di antara satu sama lain. Kita mahukan urusan umat Islam ini diberikan kepada orang Islam sahaja sama ada pihak kerajaan mahupun pembangkang, terpulanglah kepada mereka, tidak perlu timbul isu yang boleh menyebabkan ketegangan. Pihak media juga berperanan dengan baik dan sihat untuk menghasilkan masyarat majmuk yang bersatu-padu.

Pada ketika ini, YB DAP Bandar Kuching bangun mencelah bertanya mengenai usul 355 dengan berkata ini usul Hudud:

a) Mengapa YB Marang merelakan PAS diperalatkan oleh PM Najib?

b) Adakah YB Marang sedar tindakan ini telah memecah-belahkan perpaduan pembangkang dan memusnahkan harapan rakyat yang mahu menyelamatkan negara ini daripada Umno?

c) Adakah YB Marang sedar tindakan ini telah menggugat asas pembentukan Malaysia?

d) Adakah YB Marang sedar usul YB sudah diturunkan dan sekiranya ianya dinaikkan pun, Ahli Parlimen daripada Sabah dan Sarawak, tidak akan menyokong usul ini kerana ia telah melanggari terma persetujuan kemasukan Sabah dan Sarawak ketika pembentukan Malaysia?

e) Apakah ada udang di sebalik batu apabila wujud persetujuan sulit antara YB Marang dan PM sehingga UMNO boleh kekal mentadbir negara ini?

Seterusnya, YB PAS Kota Bharu yang juga Ketua Whip PAS bangun bertanya adakah YB Marang bersetuju bahawa Usul RUU Persendirian ini adalah suatu perkara yang dibenarkan berpandukan Peraturan Mesyuarat  yang membolehkan kesemua Ahli Parlimen berhak mengemukakannya dan sepatutnya proses demokrasi ini dihormati. Persoalan hendak menyokong atau menolak itu hal yang lain, tetapi untuk menyekat hak Ahli Parlimen membawanya adalah bercanggah dengan amalan demokrasi.

Lantas, Tuan Guru Presiden menjawab bahawa usul ini bukannya Hudud. Perkataan Hudud perlu diperjelaskan, ia bermakna sempadan (border). Ia adalah undang-undang jenayah Islam yang disempadankan oleh Al-Quran dan Hadis yang tidak boleh diijtihadkan atau dipinda oleh penganut Islam.

Undang-undang jenayah Islam adalah kuasa negeri, terpulanglah kepada negeri masing-masing untuk mengemukakannya. Hudud, Qisos, dan Takzir adalah undang-undang jenayah Islam. Terpulanglah kepada Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang.

Usul yang dikemukakan adalah mengenai Mahkamah Syariah untuk memperkenalkan bagaimana konsep, sistem, dan peraturan mahkamah. Adalah tidak adil untuk kita melaksanakan undang-undang Islam tanpa perlu kepada mahkamah.

Mahkamah ini telah wujud zaman-berzaman, ada juga pada zaman British. Apa yang berlaku hari ini, Mahkamah Syariah lebih rendah daripada Mahkamah Majistret. Ini sangat mendukacitakan bagi penganut Islam.

Tidak salah bagi orang bukan Islam mengemukakan undang-undang mengikut agama mereka sendiri. Di dalam Bible Old Testament yang dikenali sebagai Taurat, ada juga undang-undang Hudud dan Qisas.

Berkenaan mengapa usul ini turun naik gilirannya, ianya bukan urusan beliau kerana beliau hanya mengemukakan usul. Terpulanglah kepada mereka (Parlimen) mahu meletakkan pada nombor berapa  sama ada 1, 10 atau 40 pun.

Berkenaan adakah wujud udang di sebalik batu, beliau tidak tahu pula sama ada ada udang, ikan, mahupun buaya di sebalik batu.

Rujuklah kembali Peraturan Mesyuarat. Usul ini beliau pernah mengemukakannya pada tahun 1990-an dahulu ketika YB DAP Bandar Kuching belum pun berada di dalam Dewan.

Mengikut Standing Order (Peraturan Mesyuarat), usul RUU Persendirian hendaklah diusulkan oleh seorang menteri, barulah usul ini dibawa dan dibenarkan oleh Parlimen barulah ia dikira sebagai Bacaan Kali Pertama. Beliau sudah mengemukakan usul ini beberapa kali, tetapi tidak dapat.

Di dalam Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual kesembilan, Perlembagaan Persekutuan menyebut dengan jelas mengenai undang-undang Islam adalah kuasa negeri masing-masing, dan Mahkamah Syariah hanya boleh menghukum penganut Islam sahaja.

Bangun pula, YB DAP Tanjung yang bertanya, berdasarkan hujah YB Marang tadi bahawa tiada paksaan kepada Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak, adakah mereka diberi kebebasan untuk tidak memberikan sokongan ketika RUU ini diputuskan nanti?

YB PAS Kota Bharu pula bangun mencelah dan memaklumkan mengenai ketika pindaan Akta 355 pada tahun 1984, meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah, tidak ada pun Ahli Parlimen bukan Islam yang berbahas sedangkan Ahli Parlimen DAP Gelang Patah (Lim Kit Siang), dan Kepong (Dr Tan Seng Giaw) ada di dalam Dewan. Bahkan, ketika ia dibawa ke Dewan Negara pada 18 Disember 1984, yang membawanya ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Radzi Sheikh Ahmad dan disokong oleh Menteri Kehakiman dan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr James P. Ongkili yang juga Ahli Parlimen Tuaran, Sabah.

Tuan Guru Presiden PAS menjawab bahawa Perlembagaan sudahpun memberikan hak ini sepertimana dalam Perkara 3(1) dan kita juga ,menghayati konsep demokrasi berparlimen. Adapun mengenai sikap mereka mahu menyokong, membangkang, berkecuali adalah hak masing-masing yang tidak boleh dipaksa.

Kita bawa ke Parlimen ini pun kerana memahami prinsip demokrasi, perlembagaan dan rukun negara.

Ketika pemerintahan Islam selama 1000 tahun lebih di kawasan yang sangat luas, tanpa ada alat canggih moden seperti hari ini boleh menangani masyarakat majmuk. Penganut bukan Islam yang tidak mahu berhukum dengan undang-undang Islam dibenarkan mempunyai mahkamah mereka sendiri.

Dialog harmoni perlu diadakan dengan menghimpunkan tokoh agama masing-masing dan inilah cara yang terbaik bagi memelihara keharmonian negara ini tanpa perlu ada rasa sangsi dan takut antara satu sama lain.

Dalam hal berkenaan ummat Islam adalah tanggungjawab semua tanpa mengira fahaman politik kerana ia adalah kepentingan bersama. Sememangnya wujud rundingan peringkat politik, pegawai kerajaan pusat dan negeri. Dalam hal berkaitan kehidupan seperti lebuh raya, Jambatan Kedua Pulau Pinang adanya rundingan, maka adakah salah kami berunding dengan Kerajaan Pusat?

Seterusnya, Tuan Guru Presiden memfokuskan ucapan dalam hal ekonomi. GST adalah cukai darurat, adanya perkara tersurat, wujud juga yang tersirat. Kerajaan berkata ekonomi kita sangat kukuh, kuat, bermakna kita bukan dalam keadaan darurat.

Dalam keadaan darurat pun, Islam menetapkan syarat iaitu tidak ada sumber-sumber lain. Perkara seperti ketirisan, salah guna kuasa pembaziran perlu diselesaikan. GST ini membebankan rakyat, inflasi meningkat sehingga 3.2% sehingga berlakunya peningkatan barang keperluan rakyat.

Tuan Guru Presiden menegur Kerajaan dalam hal pemberian BR1M kerana ianya umpama memberi ikan, bukannya kail. Pastinya selepas habis nanti, mereka akan meminta lebih banyak. Meningkatnya peruntukan BR1M bermakna meningkatnya bebanan kerajaan. Sepatutnya kaedah memberi kail seperti subsidi kemudahan perikanan, pertanian, nelayan. Pengawalan terhadap alam sekitar dan hasil di laut juga perlu diperkemaskan.

Akhirnya, isu antarabangsa TPPA. Kerajaan perlu membuat kajian dalam keadaan ekonomi Amerika dan Barat yang tidak kukuh, dalam suasana keamanan dunia yang tidak boleh dijamin antara Timur dan Barat yang kini berubah menjadi perang panas setelah berakhirnya perang dingin. Maka, kerajaan perlulah mengkaji semula TPPA.

Kesimpulannya, dapatlah kita lihat sendiri bagaimana kemampuan Tuan Guru Presiden PAS berhujah dengan fakta, rasional, beradab dan tenang walau diprovok. Ada pihak yang sering menyebar cereka kononnya Tuan Guru Presiden PAS cenderung membela PM Najib dan Kerajaan Umno, tetapi hakikatnya anda yang membaca dan menonton rakaman ucapan dapat menilai sendiri. Sepanjang 30 minit ucapan beliau, adakah ayat yang Tuan Guru Presiden PAS memuji, dan mempertahankan PM Najib. Beliau berucap atas prinsip kebenaran dan menegur pemerintah dalam hal GST, BR1M, TPPA dan hentikan segala penyelewengan.

Beliau menunjukkan kepada kita bagaimana berperanan sebagai pembangkang yang menasihat kesilapan kerajaan dan bekerjasama dalam perkara kebaikan selaras dengan prinsip taawun yang diajar di dalam Islam.

Kita teruskan berdoa Tuan Guru Presiden PAS diberikan kekuatan apabila tiba masanya nanti bagi membentang dan membahaskan RUU 355 yang pastinya lebih getir dan hangat suasananya nanti.

Catatan oleh:
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS
Menara Parlimen
09.55 malam, 26 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 27/10/2016

Share on Myspace