Saman trafik perlu dikaji semula ikut kategori

JOFRI JARAIEE | .

DALAM keadaan ekonomi yang semakin gawat dan membebankan pengguna sepatutnya pihak kerajaan dapat membantu rakyat bukannya menyusahkan rakyat dengan saman yang melampau seperti saman trafik atas kesalahan yang tidak menyumbang kepada kemalangan, kesesakan, dan perkhidmatan pengangkutan awam.
 
Sekarang tiada lagi diskuan ke atas kompuan saman yang diterima oleh pesalah trafik seperti sebelum ini boleh dikurang ke caj yang minima. Ramai pemandu mengadu masalah ini kerana ada diantara mereka merasa tidak berbaloi saman ke atas kesalahan yang kecil seperti meletak kenderaan di kawasan tempat parkir teksi yang terbiar dan tidak menganggu lalulintas.
 
Sekarang ini tidak dapat lagi membuat sebarang rayuan kerana mulai dari 01/12/2010 kadar kompaun telah ditetapkan dan diseragamkan. Pengurangan saman dilakukan secara automasi berdasarkan prinsip 'The more you delay, the more you pay". Kompuan saman sehingga RM300 dan hanya boleh dikurang separuh sekiranya dibayar dalam tempoh notis tujuh hari memang tetap tidak berbaloi dengan kesalahan yang dilakukan. Bukan semua pemandu yang mampu membayar saman sebanyak itu.
 
Memang tidak dinafikan pesalah trafik patut diambil tindakan sekiranya mereka melakukan kesalahan berkaitan tingkah laku negatif pemandu dan kesalahan teknikal pada kenderaan yang menyumbang secara aktif kepada kemalangan, kesesakan dan perkhidmatan pengangkutan awam.

Tetapi bagi lain-lain kesalahan selain daripada di atas yang tidak menyumbang kepada kemalangan, kesesakan, dan perkhidmatan pengangkutan awam sepatutnya diberi pertimbangan yang sewajarnya seperti memberi mereka amaran sekiranya mereka masih melakukan kesalahan yang berulang kali selama tiga kali berturut-turut barulah tindakan saman diambil keatas pesalah itu.
 
Kita mengesa pihak berkuasa perlu mengkaji semula tindakan serta kadar saman yang dikenakan ke atas kesalahan kecil seperti yang tersebut diatas. Kadang-kadang ada tempat parkir yang terbiar dan tidak digunakan sepenuhnya maka tempat itu perlu diberi kelonggaran daripada tindakan saman kerana ia bukan menyebabkan kesesakan lalu lintas.
 
Apa yang perlu dilakukan sekiranya ada pihak yang membuat aduan ialah pihak polis trafik jangan terus menyaman tetapi memberi amaran agar pemandu yang meletak kenderaan di kawasan tersebut  jangan parkir kenderaan lagi disitu kerana ada aduan dari pihak tertentu. Mereka sepatutnya tidak hanya 'touch and go' dan meletakkan kompaun saman tanpa sebarang notis amaran.
 
Kita harap masalah ini perlu diberi perhatian kerana bukan semua pemandu sengaja membuat kesalahan tetapi disebabkan masalah kesukaran untuk meletak kenderaan dan juga ketika kecemasan menyebabkan mereka terpaksa meletakkan kenderaan mereka ditempat yang tidak sepatutnya. Tempat letak kenderaan perlu diperbanyakkan di kawasan tumpuan orang ramai seperti di kawasan persekolahan, hospital, pasar ikan/sayur, lapangan terbang dan sebagainya supaya memudahkan pengguna meletakkan kenderaan mereka di tempat yang betul.
 
Cara terbaik adalah dengan memberi amaran serta tindakan sewajarnya diambil sekiranya mereka masih berdegil dan tetap melakukan kesalahan yang berulang berturut-turut selama tiga kali maka saman boleh dikenakan. Pengguna perlu diberi didikan dan bukan hanya didenda kerana ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah. Kerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengkaji semula cara terbaik untuk mengatasi masalah ini amat dihargai. – HARAKAHDAILY 27/10/2016

Share on Myspace