Akta 355: Boleh dirunding, tidak perlu disangsikan

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA LUMPUR: Cadangan bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 telah beberapa kali dikemukakan sejak tahun 1990-an lagi, malangnya tidak pernah dapat dibawa untuk diusulkan pada sidang Parlimen.

Demikian maklum Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika Perbahasan Bajet 2017 pada Sidang Parlimen, di sini semalam.

Oleh itu katanya, perundingan dengan pihak Kerajaan Persekutuan dibuat oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

Perkara itu jelasnya, memandangkan ‘Standing Order Parliament’ menetapkan Usul Persendirian mestilah terlebih dahulu diusulkan oleh seorang Menteri sebelum boleh dibawa usul tersebut.

Oleh itu ujar beliau, tidak menjadi kesalahan rundingan diadakan, sama ada peringkat politik, kerajaan mahupun pegawai.

“Maka diadakan perundingan peringkat politik, kerana yang dipilih dalam Dewan Negeri dan Dewan Rakyat ialah peringkat politik. Perundingan peringkat pegawai, pegawai juga. Negeri, kita ada Negeri Kelantan, ada Kerajaan Pusat, boleh berunding Kerajaan Negeri dengan Kementerian Kerajaan Pusat.

“Kalau sekiranya dalam hal yang berkait dengan kehidupan, hal lebuhraya, hal jambatan kedua Pulau Pinang, hal macam-macam boleh berunding antara negeri dengan Pusat, adakah salah kami berunding dengan Kerajaan Pusat di semua peringkat? Ini tidak menjadi satu kesalahan,” hujah beliau menjawab persoalan berkaitan yang ditanya.

Beliau turut menyatakan bahawa berlakunya turun naik usul tersebut dalam aturan mesyuarat adalah urusan di bawah Speaker dan Parlimen, bukannya Ahli Dewan.

Presiden PAS itu turut melahirkan rasa dukacita berikutan timbulnya desas-desus dan ucapan yang membangkitkan perkara sangat negatif terhadap usul tersebut.

Tegur beliau, sepatutnya perkara tersebut diterima kerana ianya sudah ada di dalam Perlembagaan khususnya Jadual Kesembilan di mana Undang-undang Islam atau hukum Islam adalah berkait dengan kuasa negeri dan ke atas orang-orang Islam sahaja.

“Usul yang saya kemukakan berkait dengan Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah berkait dengan penganut Islam sahaja. Tidak ada kaitan dengan penganut yang bukan Islam. Bahkan (Akta) 355 ini pernah di bawa dalam tahun 1965 dan tahun 1966.

“(Tahun) 1965 dibuat pindaan. Di masa itu Singapura dalam Malaysia, mendiang Lee Kuan Yew di dalam Parlimen, tidak ada apa-apa bantahan. Tahun 80-an, dibuat pindaan lagi, tidak menimbul apa-apa masalah. Tetapi apabila saya kemukakan di peringkat ini, menimbulkan masalah yang boleh menghasilkan salah faham di antara satu sama lain,” terangnya mengimbau ringkas kronologi tersebut.

Pinta beliau, perkara yang berkait dengan penganut Islam hendaklah diberi kepada orang-orang Islam sahaja, sama ada oleh pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang.

Tegasnya, tidak harus timbul isu-isu yang boleh menyebabkan ketegangan di mana pihak media juga perlu memainkan peranan secara sihat dan baik untuk menghasilkan masyarakat majmuk agar bersatu padu sebagaimana dimahukan.

“Sepatutnya kita berdialog secara harmoni. Masing-masing agama ada tokoh-tokoh agama, pemimpin agama mereka. Apa salahnya dihimpunkan semua penganut-penganut agama ini untuk memberitahu pandangan agama masing-masing, kita menerima apa yang terbaik.

“Ini adalah cara yang terbaik yang perlu kita lakukan untuk memelihara keharmonian di antara kaum dalam negara kita. Kita tak perlu sangsi dan takut di antara satu sama lain. Ada pun persoalan, adakah ada udang di sebalik batu? Kita perlu terbuka, bukan udang, batu disebalik udang pun tak apa, secara terbuka.

“Kita mengamal demokrasi, ada kerajaan negeri dan ada kerajaan pusat. Dalam perkara yang berkait dengan hal-hal orang Islam, adalah menjadi tanggungjawab penganut agama Islam tanpa mengira parti politik, tanpa mengira fahaman, tanpa mengira siapa, menjadi tanggungjawab mereka untuk melaksanakan ajaran agama mereka sendiri,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 27/10/2016

Share on Myspace