Akta 355: Fahami kebebasan hak dan pembahagian kuasa

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA LUMPUR: Usul RUU Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 tidak ada kena mengena dengan hudud, demikian jelas Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Jelas beliau, hudud bermakna sempadan (border) iaitu undang-undang jenayah yang disempadankan di dalam al-Quran dan hadis tanpa boleh diijtihadkan ataupun dipinda oleh penganut-penganut Islam.

Malah terang Presiden PAS itu, Akta 355 hanya berkait dengan perundangan jenayah di bawah kuasa negeri di mana terpulang kepada negeri masing-masing sama ada mengemukakan Undang-undang Jenayah Islam Hudud, Qisas atau Takzir.

“Ada tiga jenis Undang-undang Jenayah dalam Islam. Terpulang kepada Sabah dan Sarawak, terpulang kepada Kelantan, terpulang kepada Terengganu, terpulang kepada Pulau Pinang, ini undang-undang negeri masing-masing. Usul yang saya bahas ini adalah berkaitan dengan Mahkamah Syariah.

“Mahkamah Syariah ini adalah untuk memperkenalkan bagaimana konsep mahkamah, sistem mahkamah, peraturan mahkamah. Adalah tidak adil sekiranya kita mahu melaksanakan undang-undang Islam, tak perlu mahkamah. Itu tak betul, mesti ada mahkamah, ini untuk memperkenalkan mahkamah.

“Mahkamah syariah sudah ada sejak zaman berzaman. Zaman British, setelah kita merdeka, ada lagi Mahkamah Syariah. Maka berlakulah dua kali pindaan bagaimana nak menaikkan taraf Mahkamah Syariah. Apa yang berlaku pada hari ini, taraf Mahkamah Syariah lebih rendah daripada Mahkamah Majistret, ini sangat mendukacitakan bagi penganut-penganut Islam,” perinci beliau.

Penjelasan itu diutarakan sebagai menjawab soalan-soalan diajukan kepada beliau ketika sesi Perbahasan Bajet 2017 dalam Sidang Parlimen, di sini semalam.

Tambah beliau lagi, perkara berkait dengan Mahkamah Syariah sudah disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan pada Jadual Kesembilan iaitu Perkara Satu Senarai Negeri, bermakna terpulang kepada negeri masing-masing melaksanakannya tanpa dipaksa.

Malah jelasnya, ia tidak berkait dengan orang bukan Islam di mana sebut jelas kewujudan dan penghukuman kesalahan hanya dilakukan ke atas penganut Islam terhadap perintah agamanya, bahkan tidak boleh melangkaui bidang kuasa dalam Senarai Persekutuan.

Demikian itu tegasnya, jelas menunjukkan bahawa tidak ada masalah yang menghalang bagi penganut-penganut Islam memperkasakan Mahkamah Syariah dan berunding dengan semua pihak.

“Perlembagaan sudah memberi hak, Islam Agama Persekutuan, agama-agama lain adalah bebas. Dalam masa yang sama kita menghayati konsep demokrasi berparlimen. Adapun sikap mereka di Parlimen, sama ada menyokong atau tidak, itu bukan hak saya.

“Terpulang kepada masing-masing, mahu menyokong, membangkang, berkecuali, saya tak boleh paksa. Ini adalah konsep demokrasi. Yang kita bawa ke Parlimen ini pun kerana memahami prinsip demokrasi dan memahami prinsip Perlembagaan dan rukun negara.

“(Kita) menghormati penganut semua agama, bukan sahaja perkara yang disebut, bahkan Islam sendiri dalam al-Quran,” ujarnya memetik ayat 42 surah al-Maidah mengenai hak bukan Islam sama ada mahu berhukum dengan hukum Islam atau hukuman lain.

Menurut Tuan Guru, Islam telah memerintah selama 1,000 tahun lebih dalam negara yang sangat luas ketika belum adanya alat-alat yang canggih dan segera seperti kini serta boleh menangani masyarakat majmuk.

Di mana ketika itu ceritanya, mengalami keadaan orang-orang bukan Islam yang tidak mahu menerima undang-undang Islam maka diserah kepada mereka sendiri dengan dibenarkan mereka mengadakan mahkamah sendiri dalam hal berkait dengan agama.

“Oleh kerana undang-undang ini (adalah) undang-undang agama, Quran mengatakan pilihan kepada penganut agama-agama lain. Tidak salah bagi penganut agama-agama lain untuk mengemukakan undang-undang mereka sendiri, undang-undang jenayah mereka sendiri.

“Setahu saya, di dalam ‘Bible Old Testament’ yang kami sebut Taurah, menjadi amalan kepada orang Kristian, ada juga undang-undang Qisas dan Hudud. Terpulang kepada mereka sendiri nak kemukakan atau tidak, kita orang Islam terpulang kepada kita sendiri,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 27/10/2016

Share on Myspace