Jadikan bajet mabrur, baik, diberkati dan berkebajikan

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA LUMPUR: Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sepatutnya dikemukakan ketika negara berada dalam keadaan darurat ekonomi, malangnya dilaksanakan di sebalik dakwaan ekonomi negara berada dalam keadaan kukuh dan kuat.

Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, syarat-syarat darurat yang dijelaskan Islam merujuk darurat ekonomi ketika tidak ada sumber-sumber lain, ditangani ketirisan, kebocoran, salah laku, pembaziran, penyelewengan dan seumpamanya serta mestilah tidak membebani rakyat.

“Sangat membimbangkan, GST yang dilaporkan dalam ucapan Bajet dibanding dengan sebelumnya, meningkat kepada peningkatan yang mendadak, cukainya mendadak. Tetapi mesti dikaji dalam masa yang sama ialah kesan inflasi yang meningkat, sehingga 2.3 peratus.

“Inflasi yang melibatkan barang-barang keperluan rakyat yang bukan sahaja berkait dengan penguatkuasaan undang-undang, termasuklah juga kesedaran dan kefahaman masyarakat yang perlu disedari. Perlu ditangani hal-hal ini, kita bimbang perkara negatif ini akan membebankan rakyat,” utaranya ketika Perbahasan Bajet 2017 pada Sidang Parlimen, di sini semalam.
 
Beliau juga menyentuh mengenai tindakan kerajaan menggunakan kaedah BR1M sebagai bantuan langsung kepada rakyat yang diumpamakan sebagai memberi ikan dan bukannya mata kail.

Jelasnya, pemberian sedemikian akan menyebabkan rakyat akan meminta lebih banyak sekali gus meningkatkan BR1M dan membebankan kerajaan.

“Sepatutnya bukan memberi ikan, berikan kail. Peruntukan disediakan untuk subsidi, kemudahan-kemudahan seperti perikanan, pertanian, nelayan, ini perlu dilakukan. Kemudahan mengeluarkan baja yang murah, makanan ternakan haiwan yang murah, itu sepatutnya.

“Kalau beri secara langsung, saya yakin pengalaman yang sudah-sudah berlaku hal-hal penyalahgunaan yang sangat membimbangkan. Dalam masa yang sama, pengawalan terhadap alam sekitar, ini juga tidak berlaku dengan cara yang baik dan telus.

“Hasil laut kita makin hari makin hakis kerana pengawalan yang tidak tegas dalam menghadapi hasil laut,” utara beliau yang juga Presiden PAS.

Tuan Guru turut menyinggung mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas Rentas Pasifik (TPPA) dengan mengemukakan contoh Filipina yang telah membatalkannya kerana hubungan politik antarabangsa.

Beliau berharap kerajaan juga membuat kajian kerana ekonomi Amerika dan Barat tidak kukuh disebabkan suasana keamanan dunia yang tidak boleh dijamin dari ketegangan antara Timur dan Barat ekoran perang.

Katanya, PAS menyokong dan bersetuju dalam perkara positif untuk meluluskan peruntukan bagi jentera-jentera kerajaan, pegawai kerajaan, keamanan dan keselamatan yang menjalankan tugas untuk kepentingan negara serta semua isi negara ini.

Begitu juga ujarnya, untuk kepentingan umum bagi perkara-perkara asasi dan pokok dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Pun begitu tegurnya, mengambil kira kelemahan-kelemahan yang berlaku seperti kebocoran, salah laku dan sebagainya dengan mengambil tindakan sewajarnya, supaya rakyat dan negara selamat, bukan sahaja duitnya selamat.

“Orang-orang yang kami berikan kepada mereka kuasa memerintah di muka bumi (di dalam negeri) mereka hendaklah mendirikan sembahyang (hubungan spiritual rohani dengan Allah), menunaikan zakat (aspek ekonomi), menyuruh kepada yang baik, mencegah kemungkaran (terkandung di dalamnya perlembagaan undang-undang), dan segala pengurusannya dan bagi Allah sahaja akibat segala urusan (wawasan dunia dan wawasan akhirat),” ujar beliau membacakan ayat 41 surah al-Haj itu.

Jelas beliau, tidak hanya ibadah Haji, tetapi Bajet juga mesti mencapai kebaikan dan diberkati, mabrur dan berkebajikan.

Oleh itu katanya, perlu dipertimbang dan dilakukan perbahasan dengan penuh saksama, kerana segala perancangan yang dilakukan oleh manusia pasti mempunyai kelemahan-kelemahan melibatkan perkara positif dan negatif. – HARAKAHDAILY 27/10/2016

Share on Myspace