Apa peranan kementerian bantu anak petani

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk memberi pengajian secara percuma kepada anak-anak pekebun kecil bagi mencapai cita-cita mereka ke menara gading, demikian tegas Ahli Parlimen Pasir Puteh Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad.

Ketika mengajukan soalan tambahan di Parlimen hari ini beliau berkata, usaha ini sebagai langkah untuk membantu pekebun-pekebun kecil meningkatkan taraf hidup sekali gus mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.

"Memandangkan masalah pekebun kecil seperti pekebun getah berlanjutan, tambah pula anak-anak mereka kurang berminat untuk ceburi bidang perladangan getah kerana masa hadapan yang suram. Harapan agar mereka berusaha meningkatkan pengajian mereka untuk mencari kerja lain untuk bantu keluarga," katanya.

Tambahnya, ada di antara anak-anak pekebun yang tinggal di pedalaman dan terputus hubungan akhirnya mereka tidak cemerlang berbanding pelajar-pelajar lain di bandar.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Datu Nasrun Datu Mansur berkata, kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh pekebun getah atau kelapa sawit dengan mewujudkan beberapa pusat latihan untuk anak-anak pekebun kecil.

"Misalnya, Lembaga Getah Negara (LGN) menjalankan pelbagai kursus dan latihan khas untuk anak-anak pekebun kecil yang mahu berkecimpung di dalam dunia pertanian.

"Kerajaan bagi ruang kepada mereka untuk terus tambah ilmu dan menaikkan tahap pertanian bagi memajukan perusahaan getah  begitu juga ladang sawit," jawab beliau dalam sesi soal jawab hari ini.

Di dalam soalan asal, Nik Mazian meminta Menteri terbabit menyatakan apakah perancangan Kementerian untuk membantu para petani dan usahawan kecil sektor pertanian dan asas tani dalam menghadapi kegawatan ekonomi, kesan daripada kejatuhan harga getah dan sawit. Apakah Kementerian ingin membantu anak-anak mereka mendapat bantuan pengajian hingga ke peringkat universiti secara percuma. – HARAKAHDAILY 27/10/2016

Share on Myspace