Tunggakan potongan gaji guru Yik dibayar sepenuhnya

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Isu tunggakan potongan gaji guru-guru Yayasan Islam Kelantan (Yik) yang dibangkit sebelum ini dibayar sepenuhnya kerajaan negeri September lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata tunggakan sejak 2008 diselesaikan dan tiada lagi tunggakan potongan gaji tertunggak.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar dan Pegawai Kewangan Negeri menyelesaikan isu tersebut yang pernah digegerkan sebelum ini.

“Begitu juga syarikat-syarikat yang mengadakan kerjasama perladangan dengan Yik juga menjelaskan hampir kesemua bayaran kepada Yik,” katanya menjawab soalan Datuk Ramzi Abdul Rahman (BN-Dabong) pada persidangan Dun hari ini.

Sebelum ini isu tunggakan potongan gaji guru-guru Yik kepada beberapa koperasi menjadi isu sehingga diperkatakan pada persidangan Dun Mac lepas.

Potongan gaji dan caruman itu sepatutnya dibayar kepada beberapa agensi termasuk Biro Angkasa, Bank Islam, Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Koperasi Majlis Agama Islam Kelantan (Maik).

Tunggakan tersebut berlaku kerana beberapa faktor termasuk penyusunan kembali bayaran pelarasan gaji di bawah Skim Saraan Malaysia bermula tahun lepas dan pembangunan pejabat baharu Yik di Tunjung.

Dr Fadzli berkata pada 2015 jumlah tunggakan potongan gaji meningkat kepada RM14.2 juta disebabkan faktor-faktor tersebut.

Menurutnya juga perbelanjaan mengurus Yik setiap bulan tahun ini sebanyak RM9 juta.

“Sebab itulah mulai Julai 2015 semua perbelanjaan pengurusan Yik ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri. Malah peruntukan kepada Yik tahun ini meningkat kepada RM96 juta berbanding RM78 juta sebelumnya,” katanya.

Datuk Hassan Mohamood (PAS-Tawang) sebagai mewakili Kelab Penyokong Kerajaan Negeri (BBC) merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan negeri di atas kejayaan tersebut. - HARAKAHDAILY 27/10/2016

Share on Myspace