PAS Sabah harap Kolej Islam jadi realiti

HARAKAHDAILY | .

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengharapkan berita gembira bagi masyarakat Islam khususnya untuk pembinaan Kolej Islam di negeri Sabah. Penantian ini sudah terlalu lama.

Berdasarkan hasil penelitian kami, bajet Kolej Islam ini sudah diluluskan sebanyak RM30 juta sejak tahun 2008 lagi. Ianya juga dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Undangan Negeri pada waktu itu.

Antara perkara yang dinyatakan pada waktu itu ialah kolej ini akan dibina berhampiran dengan pekan Beaufort dan fasa pertama akan melibatkan kos sebanyak RM5 juta. Fasa pertama sepatutnya siap pada tahun 2010.

PAS Sabah sangat mengharapkan pembinaan kolej ini dapat direalisasikan oleh kerajaan negeri. Setelah lebih kurang lapan tahun peruntukan tersebut diluluskan. Tetapi sampai sekarang masih belum ada tanda-tanda pembinaan ini terlaksana.

Kerajaan negeri sepatutnya memberi penjelasan yang telus terhadap perkara ini. Selain daripada Maahad Tahfiz Wal Qiraat di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), sudah sampai masanya Sabah mempunyai satu lagi institusi pengajian tinggi berteraskan Islam. Ini juga bagi memenuhi kelangsungan pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah agama di Sabah untuk melanjutkan pelajaran peringkat pengajian tinggi.

PAS Sabah yakin akan kemampuan pelajar-pelajar Islam di Sabah. Kolej ini pasti akan dapat meningkatkan semangat kepada anak-anak Sabah untuk meneruskan pengajian dalam bidang agama.

MOHD AMINUDDIN ALING
Pesuruhjaya PAS Sabah - HARAKAHDAILY 27/10/2016

Share on Myspace