Akui dapat rumah percuma, namun enggan pindah

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Minggu ini dua kumpulan NGO mengadakan demontrasi di hadapan Kota Darulnaim, mengambil peluang ketika berlangsung persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan.

Petang Isnin lepas Badan Bertindak Restorasi Air Kelantan (Restorasi) yang diketuai Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani juga mengadakan demontrasi di hadapan Kota Darulnaim.

Biar pun sepanduk ditampal di merata tempat namun tidak ramai aktivis NGO Umno terbabit datang.

Dan pagi tadi pula kira-kira 30 penduduk Kampung Laut, Tumpat turut berhimpun di hadapan Kota Darulnaim.

Mereka membantah projek Perkampungan Warisan yang dirancang kerajaan negeri di Kampung Laut, di mana sebahagiannya melibatkan tanah kerajaan.

Wakil penduduk Nik Mohd Ghazi Nik Abdullah, 50 berkata mereka tidak akan berpindah kerana tanah yang diduduki milik sendiri.

“Kerajaan negeri boleh guna tanah milik KTM seluas 30 ekar bagi tujuan itu,” katanya ketika ditemui.

Beliau bagaimanapun mengakui Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob pernah menemui penduduk di kawasan terbabit pada program dialog yang diadakan.

“Kami dapati kerajaan negeri akan sediakan tanah lain sebagai ganti, di samping itu pula diberi rumah dhuafat. Masalahnya maklumat yang diperolehi tidak sama,” ujarnya.

Sebelum ini antara pihak yang lantang menentang projek Kampung Warisan termasuk bekas anggota jawatankuasa PAS Tumpat, Mohd Nordin Adam.

Kerajaan negeri dengan kerjasama Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) merancang mewujudkan Kampung Warisan di Kampung Laut yang melibatkan kawasan lebih dua ekar.

Kerajaan negeri juga menyediakan lot seluas tiga ekar bagi menempatkan semula 13 keluarga dan membina sebuah surau. Manakala tujuh lot lagi yang terlibat dinaik taraf jalan sedia ada.

Datuk Husam Musa juga kelihatan datang bersalam dengan penduduk terbabit. – HARAKAHDAILY 27/10/2016

Share on Myspace