Adun PAN dinasihat jangan ikut perangai Umno

MUHAMMAD ARIF ISMAIL | .

KOTA BHARU: Anggota Exco kerajaan negeri Datuk Mohd Nassuruddin Daud menasihatkan Adun Salor Datuk Husam Musa tidak mengulangi kesilapan pernah dilakukan wakil rakyat Umno.

Katanya apa yang disebut Adun Salor hari ini mengulangi isu pernah disebut bekas Adun Pengkalan Pasir, Datuk Hanafi Mamat.

"Dahulu saya pernah berdepan dengan wakil rakyat Umno yang bercakap macam Yang Berhormat sekarang, hendak jadi Umno ke macam mana...," katanya pada persidangan Dun hari ini.

Husam sebelum itu menyifatkan ucapan penggulungan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serata seperti menyampaikan khutbah Jumaat.

"Saya hendak tahu ini pengulungan atau khutbah di masjid," katanya ketika mencelah semasa sesi penggulungan.

Malah isu serupa pernah dibangkit Adun Salor pada persidangan Dun lepas dengan menganggap Nassurudin berkhutbah ketika menghuraikan isu berkaitan agama.

Oleh itu Nassuruddin menasihati Adun PAN terbabit supaya tidak memperlekehkan keupayaan orang lain dan menganggap dirinya sahaja hebat.

Bagaimanapun pertelingkahan Exco dan Adun pembangkang terbabit diredakan Speaker Datuk Abdullah Ya'kub. – HARAKAHDAILY 27/10/2016

Share on Myspace