Saya sedih, kena ajar orang Melayu tegak Islam - Dr Bala

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

SETIU: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang telah bersama dengan perjuangan PAS ingin melahirkan dalam kalangan masyarakat bukan Islam agar ‘berfikiran’ Islam.

Ketua Penerangan DHPP Pusat, Dr Bala Chandran Gopal Krishnan berkata DHPP berusaha bagi membentuk pemikiran di kalangan bukan Islam dengan pemikiran Islam.

Namun, kata beliau itu bukan bermakna setiap orang bukan Islam mesti menukar anutan agama masing-masing dengan memeluk Islam.

“Bagi kita (DHPP) bila kita bersama PAS, banyak ditarbiah dan menerima dasar perjuangan PAS. Kita tahu, sebagai seorang bukan Islam kena menghormati kehendak dan keperluan orang Islam,” ujarnya pada sesi soal jawab Forum Perdana RUU Akta 355 “Biar Tahu Jangan Keliru” anjuran PAS Kawasan Setiu di Surau Tanjung Batu Rakit, semalam.

Dua ahli panel lain iaitu Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Ustaz Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Peguam Syarei, Dr Ahmad Jailani Abdul Ghani sementara moderator ialah Ustaz Mohd Khairul Nizam Razali.

Menurut Dr Bala, penentangan orang bukan Islam terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 itu kerana terikut-ikut dengan segelintir orang Islam yang menentangnya.

“Orang bukan Islam menentang RUU Akta 355 itu kerana mereka terikut-ikut dengan tindakan segelintir orang Islam sendiri yang menentang RUU itu.

“Ada orang ingat saya ini ‘bodoh’ kerana menyokong RUU Akta 355. Saya sendiri pernah ditegur oleh seorang peguam sebuah parti politik pembangkang kerana menyokong RUU 355 itu sedangkan dia (peguam) sendiri tidak faham dengan RUU itu.

“Ini bukan soal undang-undang tetapi soal logik. RUU Akta 355 itu adalah untuk memperkasakan Mahkamah Syariah hak orang Islam dan tidak ada kena mengena dengan orang bukan Islam. Bagi kita orang bukan Islam kenapa kita hendak menentang?” soalnya kepada hadirin.

Katanya, undang-undang dan mahkamah syariah hari ini perlu diperkasakan semula melalui RUU Akta 355 bagi memperbaiki kelemahan tersebut.

“Pelaksanaan mahkamah syariah hari ini di bawah kerajaan Umno yang ‘jahil’ ini menjadikan orang bukan Islam kurang yakin dengan undang-undang di mahkamah syariah, banyak kelemahannya yang perlu diperbaiki.

“Penentangan terhadap RUU Akta 355 itu kerana ianya dibentang oleh Ahli Parlimen Marang (Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi) dan jika (RUU Akta 355) dibentangkan oleh menteri, tak ada penentangan dan semua orang setuju belaka.

“DAP kena faham parti PAS, Parti Amanah Negara pun kena faham parti PAS. Sebab itu, mereka lari dari PAS sebab tidak faham dasar perjuangan parti PAS untuk menegakkan Islam.

“Niat untuk jadi ahli PAS adalah untuk menegakkan Islam, bukan hanya untuk menjatuhkan Umno. Ini tidak, untuk menjatuhkan Umno lari dari PAS. Sebab, apabila kita menegakkan Islam kemungkaran itu akan jatuh dengan sendirinya.

“Saya rasa sedih, sebab saya pula kena ajar orang Melayu untuk menegakkan Islam dan menyokong undang-undang Islam.

“Saya orang bukan Islam tetapi berfikiran Islam. Sebab untuk menjadi seseorang itu Islam bukan hak kita tetapi hak Allah SWT. Apa yang penting kita menghormati dan menghayati Islam lebih baik dari munafik-munafik yang menentang Islam,” ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 26/10/2016

Share on Myspace