Kampung Warisan tidak pinggir penduduk tempatan

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU:  Projek Kampung Warisan yang akan dibangun di Kampung Laut, Tumpat, tidak meminggirkan penduduk tempatan.

Malah, penduduk yang terlibat juga akan dibina rumah dhuafat oleh kerajaan Persekutuan menggantikan kediaman mereka yang terbabit dengan Kampung Warisan.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata lapan asnaf yang tinggal di kawasan bakal dijadikan Kampung Warisan akan dibayar pampasan rumah.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan ucapan bajet 2017 pada persidangan Dun petang semalam.

Ustaz Ahmad berkata demikian sebagai menjawab persolan yang dibangkitkan oleh Adun Salor, Datuk Husam Musa.

Beliau seterusnya berkata, projek itu akan dilaksanakan kerajaan Persekutuan di bawah program Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

“Adun Salor nampak isu berbeza, sedangkan Adun tempatan (Pasir Pekan) pula dalam konteks yang berlainan.

“Adun Salor berkata, kebanyakan tanah di situ tanah pusaka, jika projek ini berjalan ia sebenarnya akan menyelesaikan masalah tanah,” ujarnya.

Tambahnya projek itu juga diperuntukan bajet oleh kerajaan Persekutuan 100 peratus melalui tiga sektor.

Menurutnya juga hanya 2.32 hektar tanah sahaja yang bakal terlibat projek terbabit.

“Ramai penduduk yang tinggal di situ tidak bertanah dan mereka hanya membuat rumah di atas kebenaran tuan tanah,” katanya.

Jelasnya, mereka yang terlibat tidak perlu bimbang kerana mereka akan tinggal di atas tanah rizab Jabatan Parit dan  Saliran.

Beliau juga berkata, Kampung Warisan antaranya bakal dibangun laman seni, laman galeri dan laman warisan.

Katanya, ia akan memasarkan produk penduduk setempat seperti perak, kraftangan, batik, sambal daging, keropok dan lain-lain lagi.

“Kita nak susun semula kawasan di situ agar lebih cantik dan tersusun.

“Tidak ada sebab kenapa Kelantan tidak membela mereka, tanggapan itu silap,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/10/2016

Share on Myspace