Maahad Sains Tok Guru dibuka sesi 2017

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Maahad Sains Tok Guru di Pengkalan Chepa bakal beroperasi Januari 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata sekolah itu bakal menjadi sekolah unggul dan berprestasi tinggi.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada sidang Dun Kelantan yang berakhir semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan Dr Yusnan Yusof (PAS-Melor) yang mencadangkan supaya bahasa pengantar sekolah berkenaan diperluaskan di sekolah-sekolah Yik.

Menurutnya lagi, sekolah berkenaan akan menjadikan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab sebagai bahasa komunikasi.

Pada masa yang sama, Dr Fadzli turut memberitahu, seramai 2,041 orang guru telah mengikuti kursus di Institut Latihan Perguruan Kelantan sepanjang tahun 2014 dan 2015.

Menurutnya, kursus berkenaan diadakan bagi melengkapkan tenaga pengajar ke arah profesional dengan kemahiran perguruan berteraskan Islam.

“Selain itu, ILPK juga turut menjalankan projek perintis pembinaan guru bersepadu dan Islamisasi ilmu.

“Ia membabitkan 30 guru terpilih yang dikendalikan tenaga pakar dari institusi pendidikan ternama dalam negara,” ujarnya.

Pada masa yang sama, tambahnya ILPK bakal menerbitkan teks-teks produk Islamisasi ilmu untuk diguna pakai oleh guru Yik sebagai teks tambahan. – HARAKAHDAILY 28/10/2016

Share on Myspace