Perspektif tersendiri polemik RUU 355

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

BAHAGIAN 1: PERSIS 11 SEPTEMBER

Semakin hampir detik perbahasan usul RUU pindaan Akta 355, semakin ramai pihak yang bersuara. Yang menyokong datang dengan segala semangat dan hujahnya. Yang menentang terus berusaha dengan segala helah dan alasannya. Tidak kurang yang meragui, muncul dengan seribu satu persoalan dan pertikaian.

Apapun yang berlaku, saya memiliki beberapa perspektif berkenaan fenomena ini. Saya nyatakan mengikut nombor:

1. Sifat ingin tahu terhadap Islam semakin berkembang
2. Menjelaskan warna kulit sebenar setiap tokoh
3. Pseudo-Salafi dan Neo Muktazilah
4. Fenomena Ruwaibidhoh
5. Peluru takfiri yang diulang-ulang

Untuk tidak membuatkan pembaca bosan, saya keluarkan satu persatu tulisan mengikut nombor perspektif.

1. Dakwah semakin berkembang

Siapa sangka, kini pindaan Akta 355 sudah menjadi bualan sensasi rakyat. Apabila pihak-pihak berpengaruh mula bersuara, perhatian jelata akan dicuri. Yang tak tahu jadi tahu, yang tak suka mengkaji untuk mencari titik sangsi. Yang menentang menjaja keburukannya.

Daripada semua perbahasan, secara tidak langsung ia akan membuka kepada tajuk-tajuk syariat Islam. Orang akan mengkaji sedikit sebanyak tentang perlaksanaan Islam. Orang akan cuba mengenali apa yang terkandung dalam perundangan Islam.

Saya fikir fenomena ini umpama peristiwa 11 September 2001. Walaupun niat di sebaliknya adalah untuk menghalalkan serangan terhadap Iraq atas nama cegah keganasan, namun secara tidak langsung ia menyebabkan masyarakat dunia ingin tahu apa sebenarnya Islam. Al-Quran terjemahan habis di pasaran. Wacana TV dan akhbar hangat mengupas tentang Islam.

Akhirnya peristiwa 11 September melonjak pertumbuhan nisbah pemeluk Islam di Amerika dan negara barat lain dengan pesat sekali sehingga diakui oleh ramai pemerhati dan pengkaji antarabangsa bahawa: "Islam is the fastest growing religion in America".

Saya fikir di sebalik polemik RUU355 ini, ia memberikan sesuatu yang sangat positif kepada perkembangan Islam. Orang yang prihatin tentang isu ini bukan sahaja akan celik agama, mereka juga akan celik undang-undang dan celik politik.

Bagi yang benar-benar mencari solusi untuk menangani masalah jenayah dan keruntuhan sosial dalam negara, mereka insya Allah akan menyokong pindaan ini termasuk kalangan bukan Islam. Walaupun mungkin ada kelemahan, yang pasti inilah satu-satunya cadangan yang ada kerana kebanyakan pihak yang mengkritik dan menentang, hanya membantah semata-mata tanpa membawa cadangan lain.

BAHAGIAN 2: AKHIRNYA TIMBUL JUA

Sebelum ini mungkin ramai tidak jelas pendirian tokoh-tokoh masyarakat tertentu yang banyak menegur mengkritik PAS dalam berbagai isu. Ada di kalangan mereka berniat baik untuk melihat Islam berkembang di negara hari ini, dan ada juga yang memiliki niat terselindung di sebaliknya.

Namun setelah timbul isu RUU355, sedikit sebanyak kita boleh lihat sendiri sikap sebenar dan wajah mereka. Sikap ahli akademik yang berdisiplin adalah mendapatkan penjelasan terlebih dahulu sebelum mengulas apa-apa isu yang timbul. Ahli akademik tidak akan menjadikan sumber sembarangan atau hearsay sahaja untuk menetapkan sesuatu pendirian sebaliknya mengajukan kepada pihak yang terlibat atau merujuk kepada pakar.

Alhamdulillah, ramai pihak bukan ahli politik turut mengambil bahagian dalam mengupas isu ini seperti pengamal undang-undang, pimpinan NGO, jurnalis, pengkaji politik, mufti, tokoh agama dan juga pensyarah. Mereka datang bersemuka dengan pimpinan PAS dan berdialog bagi mendapatkan gambaran sebenar prinsip serta implikasi RUU355 ini. Ada yang akhirnya menyokong, ada yang masih berdiam diri malah ada yang tidak bersetuju. PAS berlapang dada menerima setiap respons asalkan kaedah yang mereka gunakan dalam memahami perkara ini betul.

Malangnya tidak semua mengikut disiplin akademik ini. Atas dasar kebebasan bersuara dan atas kelebihan tidak terikat dengan mana-mana kumpulan, ada sebahagian pihak yang terus mengulas RUU355 tanpa memahami kaedah sebenar tentangnya. Lebih memalukan, persoalan yang mereka timbulkan sudahpun terjawab dalam berbagai tulisan, ceramah serta buku-buku yang dikeluarkan pihak PAS terutama dari  kerajaan Kelantan. Ironinya, dalam mendapatkan gelaran PhD dan apa jua kajian bersifat akademik, mereka begitu detail mengkaji dari sumber-sumber primer. Tetapi di medan realiti, semua pelajaran disiplin ilmu itu tidak diambil kira.

Lebih mengelirukan, di saat terdapat kumpulan yang berfikiran liberal dan sekular yang menentang RUU355 atas alasan syariat Islam tidak boleh menyelesaikan masalah, di saat ada pihak yang mengaku Islam tetapi tidak mahu dikongkong dengan peraturan tuhan, mereka langsung tidak berusaha menangani pihak ini sebaliknya lebih fokus untuk menimbulkan keraguan terhadap usaha memartabatkan syariat Islam oleh PAS.

Bahkan sepanjang polemik ini berlangsung, ada mufti yang mempromosikan pemikiran liberal dan sekular menerusi akaun media sosial mereka. Hujah seperti keadilan sebelum Islam, masyarakat majmuk, kondusiviti, hudud mencacatkan orang Islam, polemik negara teokrasi dan agama terpisah dari konsep pemerintahan ditimbulkan kembali walaupun isu ini telah lama dijelaskan oleh cendekiawan Islam sejak dahulu.

Sekarang kita boleh lihat, kepada pihak manakah kumpulan ini lebih menumpukan serangan; pihak yang berusaha menaikkan taraf Islam di Malaysia atau pihak yang berfikiran liberal seperti seorang peguam yang juga anggota gerakan sesat feminisme Sister In Islam. Mereka lebih intim dengan kumpulan mana, dan lebih kritis terhadap kumpulan mana.

Sepanjang sejarah perjuangan Islam, golongan ini sentiasa wujud. Di saat perjuangan ini masih kabur masa depannya di mata mereka, mereka akan mengambil sikap menjarakkan diri. Tetapi setelah perjuangan ini dilihat cerah masa depannya, merekalah orang yang berada di saf hadapan mengaku segala titik peluh itu milik mereka.

BAHAGIAN 3: PSEUDO-SALAFI & NEO-MUKTAZILAH

Ada pihak yang mendakwa mereka mengikut manhaj salaf dalam beragama. Manhaj salaf adalah menerima nas sebagaimana yang diturunkan tanpa takwilan dan menyerahkan hakikat kepada tuhan. Manhaj salaf sangat ketat dalam menerima sebarang pemikiran baru yang tidak bersumberkan nas.

Namun dalam bab RUU355, sebahagian salafi di Malaysia menggunakan hujah-hujah yang jauh dari manhaj salaf dan sangat mirip kepada muktazilah. Antaranya memperkenalkan prinsip Islam bukan sahaja kena adil, ia juga mesti dilihat adil.

Dari mana datangnya kaedah ini daripada nas? Tiada! Hujahnya hanyalah kerana Nabi tak bunuh orang munafik kerana takut beliau dituduh membunuh sahabat. Lalu dikaitkan jika akta 355 dipinda, ia dilihat tidak adil kerana hanya orang Islam boleh dihukum.

Jika dia merujuk kepada nas, sudah tentu dia akan dapati sejak zaman Nabi SAW sendiri terdapat dua set hukuman. Pertama Firman Allah SWT:

فَإِنْ جَاءُوكَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ

Jika mereka (Yahudi) datang kepadamu (untuk dihakimi), maka hakimilah mereka (mengikut cara Islam) atau biarkan mereka (mengikut cara sendiri). [Al-Maidah: 42]

Ayat ini memberi pilihan kepada Nabi sama ada mahu menghakimi non-muslim dengan cara Islam atau tidak. Pilihan ini Allah yang beri bukan ijtihad Nabi. Adakah Allah dilihat tidak adil dengan membenarkan Nabi membezakan hukuman antara muslim dan non muslim?

Perkara ini disokong dalam sebuah hadis. Dalam Sahih Bukhari bab hudud, pernah Nabi didatangi Yahudi minta dihakimi seorang yang dituduh zina. Maka Nabi memilih untuk dijatuhkan hukuman mengikut kitab Taurat. Walaupun hukumannya sama, ini menunjukkan keanjalan Islam dalam menetapkan dua set hukuman.

Hujah tidak boleh menghukum orang Islam sahaja tanpa melibatkan non muslim sangat dangkal. Apakah ini bermakna tidak adil bagi kerajaan mengambil tindakan terhadap muslim yang minum arak hanya kerana non muslim tidak boleh dihukum? Apakah tidak adil menangkap muslim yang makan di siang hari Ramadhan hanya kerana non-muslim tidak ditangkap?

Jelasnya idea adil dan dilihat adil ini adalah prinsip yang diperkenalkan oleh ahli politik dan pakar perundangan barat, Lord Heward. Jelasnya: "Not only must Justice be done; it must also be seen to be done". Jelas ia bukan dari Islam.

Bahkan, menilai keadilan dengan persepsi manusia sebenarnya merupakan sebahagian idealisme muktazilah yang telah bercanggah dengan ahlu sunnah wal Jamaah. Prinsip kita ahlu Sunnah, kebaikan itu adalah sesuatu yang diputuskan baik oleh syarak, walaupun akal melihat ia buruk. Sedangkan muktazilah mendakwa kebaikan itu adalah apa yang diputuskan oleh akal itu baik tanpa mengambil kira ketetapan syarak.

Salafi sepatutnya dalam hal pelaksanaan syariat, merekalah orang paling terkedepan sebagai pendesak kerana dalam al-Quran dan Hadis terlalu banyak gesaan supaya berhukum dengan syariat Islam. Tapi yang pelik so called salafi di Malaysia lebih selesa berada dengan undang-undang sedia ada, dan begitu skeptikal dengan usaha menaik taraf undang-undang negara ke arah lebih islamik.

BAHAGIAN 4: RUWAIBIDHAH DI MANA-MANA

Sabda Rasulullah SAW

سيأتي على الناس سنوات خدّعات، يُصَدق فيها الكاذب ويُكذَّب فيها الصادق، ويُؤتمن فيها الخائن ويُخوَّن فيها الأمين، وينطق فيها الرويبضة))،
قيل وما الرويبضة يا رسول الله ؟ .. قال: «الرجل التافه يتكلم في أمر العامة

Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan tipudaya. Pada masa itu yang benar didakwa berbohong dan pembohong dipercayai. Pengkhianat diberi amanah sedangkan yang amanah dituduh khianat. Golongan-golongan ruwaibidhah akan bebas bercakap.
Sahabat bertanya: Apakah itu ruwaibidhah?
Nabi menjawab: Orang-orang bodoh yang bercakap tentang urusan besar.
[HR Ibn Majah, Hakim dan Ahmad]

Apa yang berlaku hari ini semakin menepati sabdaan baginda SAW. Selain dari kita melihat pendusta dipercayai dan pengkhianat diberi amanah, melalui polemik RUU355 ini kita melihat ramai yang orang yang tidak tahu sesuatu bidang bercakap tentang apa yang mereka tidak tahu. Berdasarkan hadis, mereka ini dilabel sebagai bodoh (tolol/jahil).

Dalam memahami konsep pindaan akta 355 ini, mereka perlu memahami dua bidang iaitu perundangan dan syariat Islam. Malangnya ada peguam yang mengulas RUU355 sehingga melanggar batas syariat, dan ada juga agamawan yang mengulasnya di luar konsep perundangan. Semuanya bakal menatijahkan pandangan yang salah. Lebih malang, bukan lulusan undang-undang atau agama, tapi bercakap mengalahkan profesor!

Dalam bidang agama sendiri banyak cabangnya. Tidak boleh diukur dia pakar agama hanya kerana memiliki segulung PhD dalam sesuatu bidang ilmu Islam sahaja. Seorang yang PhD hadis belum tentu dia pakar tafsir. Seorang yang PhD usul belum tentu dia pakar lughah. Seorang pakar fiqh belum tentu dia pakar siasah.

Sistem pensijilan dunia hari ini memberi pengiktirafan mengikut kepakaran dalam suatu tajuk dan bidang tertentu sahaja, tidak secara menyeluruh. Selayaknya jika mahu mengira kepakaran dari sudut sijil, seseorang memperolehi PhD kerana tesis tafsir dalam tajuk kajian huruf nun (ن) dalam al-Quran, maka dia perlu digelar pakar nun sahaja, bukan pakar tafsir.

Contohnya Dr Zakir Naik, dia seorang pakar perbandingan agama. Sangat tepat kalau kita tanyakan tentang soal perbandingan agama kepadanya. Tetapi apabila kita bertanya hukum PTPTN, maka timbullah jawapan yang kabur yang akhirnya dimarahi oleh sekalian pihak kononnya ibarat membela kerajaan yang menindas mahasiswa. Syeikh Albani diiktiraf sebagai mujaddid hadis oleh ulama mutakhir kerana kepakarannya dalam bidang periwayatan hadis. Namun apabila beliau berfatwa tentang permasalahan fiqh, ramai yang tidak bersetuju dengan pendapatnya yang sangat aneh (gharib).

Dalam isu RUU355, perkara ini berlaku lagi. Atas dasar kebebasan bersuara, masing-masing berperanan mengelirukan zaman dengan kata-kata yang tidak berasas. Ada ustaz bidang hadis yang bercakap soal fiqh dan siasah. Maka terbitlah kaedah songsang seperti "Islam tidak hanya perlu adil tapi perlu juga dilihat adil" dan dalam Islam hanya ada satu set hukuman.

Mereka perlu faham, secara analoginya bidang hadis itu ibarat kerja penilaian emas, mana satu emas tulen dan mana satu emas campur atau palsu. Setelah emas tulen diperoleh (hadis maqbul), ia tetap tidak boleh digunakan sehinggalah dijadikan barang kemas atau wang. Maka kerja memproses emas itu adalah kerja orang di bidang fiqh pula.

Lebih parah, si fulan bukan sahaja bercakap soal fiqh yang bukan bidangnya, malah turut bercakap soal perundangan. Dia membuat ulasan, RUU355 ini mengelirukan kerana mengundang memberikan kuasa kepada hakim untuk menetapkan hukuman seberapa banyak yang dia mahu. Dibawa contoh seorang ustaz boleh didenda kerana mengajar tanpa tauliah sehingga beratus ribu ringgit jika RUU355 berjaya digubal.

Akta ini tidak boleh memberi kuasa semudah itu kepada mahkamah syariah.

Ini kerana mahkamah syariah adalah di bawah bidang kuasa negeri. Hakim perlu merujuk kepada peruntukan enakmen negerinya berapakah had yang dibenarkan. Enakmen ini pula perlulah diluluskan dalam Dun dengan sokongan majoriti Adun. Bermakna ia perlu melalui satu lagi peringkat legislatif. Ia bukan kuasa mutlak hakim!

Saya nasihatkan agar kepada mereka yang mahu bercakap dalam bidang yang bukan kemahirannya agar mengkaji teliti dahulu tentang bidang lain itu. Jangan hanya ambil modal dari sembang-sembang kopi atau lepak-lepak mafasid sahaja. Bimbang anda akan tergolong di kalangan ruwaibidhoh.

BAHAGIAN 5: TUDUHAN TAKFIRI TERUS BERLANGSUNG

Sebelum diperjelaskan lebih lanjut, perlulah dibezakan antara tuduhan kafir dan takfiri. Menuduh kafir ertinya menuduh seseorang itu sebagai kafir. Menuduh takfiri pula ertinya menuduh seseorang itu suka mengkafirkan orang.

Takfiri terus menjadi peluru pihak tertentu untuk menyerang PAS. Sejak dari awal penubuhan PAS, pimpinan Umno tidak pernah henti dari membidik PAS dengan peluru ini sehingga membawa kepada berbagai tindakan kejam dan zalim. Kini sebaik sahaja bekas pimpinan PAS pusat keluar dan menubuhkan parti baru, mereka terus melabelkan parti lamanya sebagai ISIS dan takfiri.

Fenomena ini berlaku di setiap belahan dunia. Para asatizah Azhar yang dilantik atas restu kerajaan Mesir mendakwa Ikhwan Muslimin sebagai jemaah takfiri. Mujahidin Chechen dan Kaukasus di Rusia dituduh oleh gerakan sufi yang mesra kerajaan sebagai wahabi dan takfiri. Pokoknya mana-mana gerakan Islam yang cuba membawa idealisme pemerintahan Islam akan dituduh sebagai takfiri.

Tentunya PAS yang gigih mempersada syariah Islam di puncak perundangan negara tidak terlepas dari tuduhan ini. Kata-kata kurang tertib dari individu yang tidak ada kena mengena dengan pendirian PAS dijadikan modal untuk menuduh PAS takfiri.

Pensyarah agama tidak terkecuali dari permainan busuk ini. Sama ada mereka sedar atau tidak, sudah beberapa kali persepsi jahat ini dibentuk oleh mereka. Pertama ketika isu pengkhianatan lompat parti oleh bekas wakil rakyat PAS yang telah berbaiah. Mereka cipta persepsi bahawa PAS ghuluw/ekstremis kerana melakukan bidaah mungkar iaitu dengan mengadakan baiah mentakliq baiah dengan talaq, sedangkan isu utama adalah mengkhianati perjanjian. Dibahas soal syarie atau tidak mengadakan baiah, padahal ianya boleh saja ditimbulkan awal sebelum berlaku kes lompat parti ini. Dibutakan mata hati tentang hukum mengkhianati janji.

PAS tidak pernah menyatakan sesiapa yang menolak RUU355 sebagai kafir. Cuma PAS memahami ianya wajib kerana mengambil kaedah 'kewajipan yang tidak sempurna melainkan dengan sesuatu, maka sesuatu itu hukumnya wajib'. Seperti wuduk, walaupun wuduk hukumnya sunat, tapi boleh jadi wajib kerana kewajipan solat tidak akan tertunai melainkan dengannya.

RUU355 wajib bagi memberi kuasa mahkamah syariah negeri-negeri menetapkan prosedur kehakiman selaras dengan apa yang digariskan dalam al-Quran dan sunnah. Walaupun tidak secara menyeluruh, sekurang-kurang sebahagian dapat dilaksanakan.

Oleh kerana ianya wajib, PAS berusaha memahamkan ahli parlimen Islam tanpa mengira parti berkenaan kewajipan ini supaya mereka tidak dikira berdosa di mahkamah Allah kelak kerana meninggalkan kewajipan ini. Namun tidak sekali PAS beranggapan yang menolaknya adalah kafir. Berdosa dan kafir beza hukumnya. Meninggalkan solat hukumnya berdosa, tapi tidak sampai jatuh kafir walau Nabi perintah supaya rumah mereka dibakar, kecuali mereka percaya bahawa solat itu tidak wajib.

Kata-kata individu tertentu tidak menggambarkan pendirian PAS. Pendirian rasmi PAS setakat ini hanya boleh dikeluarkan oleh Presiden, Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan sahaja. Walaupun ada saja pemimpin DAP, PKR yang sokong GST dan TPPA, tetapi PAS tidak menganggap itu adalah pendirian parti mereka.

Apapun semua harus menginsafi sama ada melalui usaha RUU355 atau selainnya, bahawa menjalankan hukum hakam tuhan dalam pemerintahan hukumnya wajib. Sesiapa yang tidak mempercayai kewajipan ini walaupun dengan hatinya maka gugurlah imannya kerana membantah nas al-Quran dan Hadis. Tidak menyokong tidak bermakna kafir, TAPI tidak percaya ianya wajib adalah kufur mengikut jumhur ulama ahlu sunnah. Batas iman dan kufur inilah yang perlu dijelaskan. - HARAKAHDAILY 29/10/2016

Tulisan di atas diambil daripada facebook penulis.

Share on Myspace