Sejarah: PAS anjur Seminar Perpaduan Ummah

HARAKAHDAILY | .

PAS ANJURKAN SEMINAR PERPADUAN UMMAH UNTUK CARI FORMULA MENYATUKAN UMAT (28 OKTOBER 1988)

PADA hari ini dalam tahun 1988, Dewan Ulamak PAS Pusat telah menganjurkan Seminar Perpaduan Ummah di Masjid Pulau Melaka, Kota Bharu sebagai satu langkah menghimpunkan para ulamak bagi merumuskan formula mengatasi perpecahan umat Islam di negara ini. Seminar sehari ini telah dihadiri oleh bekas-bekas pemimpin Umno yang terlibat secara lansung dalam perpecahan politik setelah Umno diharamkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 8 Ogos 1988. Konflik politik yang tercetus di antara Umno dan PAS pasca Tragedi Memali pada akhir 1985, telah diburukkan lagi oleh perpecahan dalaman Umno ekoran pergeseran di antara Team A dan Team B Umno pada pemilihan parti nationalis itu pada 1987.

Pergolakan dalaman Umno sebagai parti politik Melayu terbesar di negara ini ketika itu telah mewujudkan Team A Umno yang dipimpin oleh Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Team B Umno yang diketuai oleh Tengku Razaliegh Hamzah. Dalam pemilihan Umno pada 27 April 1987, Team B Umno telah tewas dan bertindak membawa kes mereka ke mahkamah, sehingga akhirnya Umno diharamkan. Team B Umno kemudiannya telah menubuhkan Semangat 46 dan mengadakan kerjasama dengan serpihan PAS, Berjasa di bawah Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan).

Perpecahan Umno dilihat sebagai satu perpecahan besar umat Islam, dan PAS segera mengambil langkah menangani fenomena ini. PAS telah menganjurkan Persidangan Agung Perpaduan dan Politik Islam di Kuala Lumpur pada 21 Ogos 1988 dan diikuti oleh Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah di Rusila pada 9-10 September 1988. Tujuan utama kedua-dua persidangan perpaduan ini diadakan adalah untuk membolehkan PAS memimpin usaha mewujudkan semula perpaduan umat Islam setelah ia terpecah ekoran pengharaman Umno.

Pada 28 Oktober 1988, Dewan Ulamak PAS Pusat telah mengadakan Seminar Perpaduan Ummah di Masjid Pulau Melaka untuk merumuskan formula-formula bagi menyatukan semula umat Islam. Beberapa pemimpin serpihan Umno seperti Ibrahim Ali (Ketua Pemuda Semangat 46), Ustaz Ibrahim Azmi Hassan (Ahli Parlimen Kuala Nerus), Dato' Ariffin Saleh (bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan) dan Wan Omar Wan Abdul Majid (Ahli Parlimen Pasir Puteh) telah hadir dalam seminar ini mewakili Semangat 46. Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor ketika merasmikan seminar ini mempertegaskan bahawa hanya dengan Islam seluruh perpecahan umat dapat diselesaikan dan perpaduan ummah dapat diwujudkan. Beliau menyeru para ulamak supaya memainkan peranan sebagai pembimbing ummah dalam mewujudkan perpaduan berasaskan al-Quran dan Sunnah.

Mengambil semangat daripada agenda perpaduan dalam seminar ini, PAS telah mengadakan siri-siri taklimat kepada PAS Negeri-negeri antara 22 November hingga 7 Disember 1988 untuk menjelaskan hasrat PAS mengembalikan perpaduan ummah dengan mengadakan kerjasama politik dengan Berjasa dan Semangat 46. Pada 23 Disember 1988, satu Majlis Makan Pemikir Ummah telah diadakan di Kelang Jaya yang mempertemukan Ustaz Fadzil Mohd Noor dengan Tengku Razaliegh Hamzah, pemimpin Semangat 46. Kerjasama antara PAS-Angkatan kemudiannya membawa keuntungan politik kepada PAS apabila Kelantan dapat dikuasai semula dalam Pilihan Tata Umum pada 21 Oktober 1990.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
28 Oktober 2016

Share on Myspace