MCA sedia terima tawaran dialog dengan PAS

HARAKAHDAILY | .

MCA SEDIA TERIMA TAWARAN DIALOG DENGAN PAS DENGAN SYARAT (29 OKTOBER 1984)

PADA hari ini dalam tahun 1984, PAS telah menerima surat jawapan daripada MCA tentang tawaran dialog yang dikemukakan oleh PAS kepada parti Parlimen Cina itu sebelumnya. Setiausaha Agung Pemuda MCA, Chew Hock Thye dalam surat jawapannya kepada Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad telah menyatakan kesediaan bersyarat MCA untuk berdialog dengan PAS dalam isu-isu politik dan agama di negara ini. Terdahulu, pada 15 Oktober 1984, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad yang juga Ketua Lajnah Penerangan PAS Pusat melalui sepucuk surat telah mengajak MCA berdialog dengan PAS.

Isu dialog PAS-MCA ini timbul ekoran keputusan Muktamar Tahunan PAS Ke-29 pada 29 April - 1 Mei 1983 yang mahu PAS mendekati orang bukan Islam secara langsung sebagai strategi dakwah yang baru. Yang Dipertua Agung PAS, Pak Haji Yusof Rawa dalam ucapan dasarnya pada muktamar itu turut menyeru supaya PAS memecahkan tembok yang menghalangi PAS dari mendekati orang bukan Melayu, khususnya orang Cina. Pendirian PAS ini mempunyai kaitan yang rapat dengan kegagalan pendekatan politik melalui BN pada dekad 1970-an dan keengganan PAS berkerjasama dengan parti cauvenis seperti DAP yang telah berbangkit semasa Pilihan Raya Umum 1982. Gerakan dakwah secara langsung dengan orang bukan Islam adalah lebih berkesan bagi PAS, berbanding pendekatan melalui kerjasama politik sebelumnya.

Atas asas ini, pada 6 Oktober 1983, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah memutuskan supaya usaha dibuat untuk mendekati orang bukan Islam, termasuk mengadakan seminar-seminar berkaitan. Pada 15 Oktober 1984, Ustaz Nakhie Ahmad telah membuat tawaran bertulis kepada MCA untuk berdialog dengan PAS, sedangkan dalam satu tindakan politik yang lain, PAS mencabar Umno berdebat dalam isu-isu negara Islam. Mengambil langkah berhati-hati terhadap pelawaan PAS ini, Setiausaha Agung Pemuda MCA, Chew Hock Thye pada 29 Oktober 1984 telah menjawab tawaran dialog tersebut dengan memberikan persetujuan bersyarat. Antara syarat yang ditetapkan oleh MCA sebelum berdialog ialah PAS mesti menyatakan sikap dan pendirian dalam perkara berikut:

I. Kedudukan Malaysia sebagai sebuah  negara sekular;
II. Kedudukan Malaysia sebagai negara perlbagai kaum;
III. Jaminan pemeliharaan hak dan kepentingan setiap kaum;
IV. Penerusan sistem perlembagaan beraja dan demokrasi berparlimen; dan
V. Keperluan melandaskan perubahan dan pembangunan mengikut iklim Malaysia.

Menjawab syarat-syarat MCA yang mahu mengetahui terlebih dahulu pendirian PAS dalam soal tersebut, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad pada 10 November 1984, menyatakan lebih baik semua persoalan itu dijawab dalam sesi dialog yang akan diadakan kelak. Pada 6 Disember 1984, Setiausaha Agung Pemuda MCA dalam jawapan balasnya bertegas bahawa dialog dengan MCA hanya dapat diadakan jika PAS terlebih dahulu menyatakan pendiriannya terhadap perkara berbangkit. Walaupun proses mempertemukan kedua-dua parti terus berlangsung, namun krisis kepemimpinan yang melanda MCA kemudiannya telah menggagalkan rancangan dialog kedua-dua parti ini. Kegagalan mendapatkan persetujuan MCA bagi membolehkan PAS berdialog dengan mereka dalam soal politik dan agama, jelas tidak melemahkan PAS.

Sebaliknya PAS telah mengambil langkah proaktif pada tahun 1985 apabila ia memulakan hubungan dengan orang Cina menerusi Chinese Consultative Council (CCC). Pada 10 Februari 1985, PAS menganjurkan simposium "Islam dan Persoalan Perpaduan Negara" di Dewan Perhimpunan Cina Selangor. Daripada simposium inilah, PAS membuka langkahnya mendekati orang bukan Islam sehingga terbentuknya CCC.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
29 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 29/10/2016

Share on Myspace