Kerajaan PAS Terengganu tumbang undi tidak percaya

HARAKAHDAILY | .

KERAJAAN PAS TERENGGANU TUMBANG DALAM UNDI TIDAK PERCAYA (30 OKTOBER 1961)

PADA hari ini dalam tahun 1961, Kerajaan PAS Terengganu telah tumbang dalam satu usul undi tidak percaya yang dikemukakan di Dewan Undangan Negeri Terengganu setelah berlaku krisis kepemimpinan yang berpanjangan dalam PAS Terengganu sejak 1959. Usul undi tidak percaya yang dikemukakan oleh ADUN Parti Negara, Wan Daud Wan Ahmad telah berjaya menjatuhkan Kerajaan PAS Terengganu yang dipimpin oleh Mohd Daud Abdul Samad selaku Menteri Besar sejak 29 Jun 1959. PAS membentuk kerajaan di Terengganu pada 1959 ekoran kejayaan PAS menguasai 13 daripada 24 kerusi DUN Terengganu dalam Pilihan Negeri Terengganu pada 16 Mei 1959.

Kerajaan PAS Terengganu terbentuk dengan Mohd Daud Abdul Samad menjadi Menteri Besar dan beberapa ADUN PAS mengangkat sumpah pada 29 Jun 1959 sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri yang terdiri daripada Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah (Jeram), Abu Bakar Salleh (Sura), Ismail Yusof (Ulu Terengganu Dengan), Omar Abdul Rahman (Ulu Terengganu Barat), Ustaz Omar Shukri Embong (Ulu Dungun) dan Mohd Senari Yunus (Kampong Raja). Ekoran keluarnya Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah dan pemecatan keahlian PAS ke atas Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar oleh PAS Cawangan Dungun, pada 6 Ogos 1960, satu usul undi tidak percaya telah dibuat ke atas Kerajaan PAS Terengganu, tetapi ia digagalkan oleh Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah yang menyokong Kerajaan PAS. Bagi mengukuhkan kerajaan, pada 8 Oktober 1960, ADUN Langkap, Ismail Abbas yang menyertai PAS dari Parti Negara telah dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

Krisis kepemimpinan yang berpanjangan dalam PAS Terengganu kemudiannya menjelaskan Kerajaan PAS ekoran keluar masuk ADUN Jeram dan Marang dalam PAS. Ketika keadaan politik sedang bergolak ini, pemimpin Parti Negara yang marah dengan penyertaan ADUN Langkap ke dalam PAS telah bertindak membawa tiga ADUN Parti Negara menyertai Umno. Dalam pada itu, pada 19 Jun 1961, dua ADUN PAS, Tuan Guru Haji Wan Said Mohd Noor (Kuala Besut) dan Tuan Guru Haji Abdul Kadir Mohamad (Kuala Terengganu Tengah) dilaporkan hilang diculik. Pada 21 Jun 1961, akhbar melaporkan tiga ADUN PAS dari Kuala Besut, Kuala Terengganu Tengah dan Marang telah menyertai Umno bersama tiga bagi ADUN Parti Negara.

Dengan penyertaan tiga ADUN PAS dan tiga ADUN Parti Negara ke dalam Umno, komposisi ADUN telah berubah di mana Perikatan mempunyai 13 ADUN, sedangkan PAS hanya mempunyai 11 ADUN. Ini menyebabkan PAS tidak lagi mempunyai majoriti untuk memimpin kerajaan negeri. Dalam sidang DUN Terengganu pada 30 Oktober 1961, ADUN Parti Negara yang menyertai Umno, Wan Daud Wan Ahmad telah mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar dan Kerajaan PAS Terengganu Dengan disokong oleh ADUN Perikatan, Tengku Mohsien Abdul Kadir. Dalam undian ini, usul tersebut mendapat 13 sokongan iaitu tujuh Perikatan, tiga Parti Negara, dua bekas ADUN (Kuala Besut dan Kuala Terengganu Tengah) dan satu ADUN PAS (Jeram). Dua lagi ADUN PAS iaitu Ustaz Hussin Jusoh dan Muhammad Ismail telah berkecuali, sedangkan anggota Exco, Omar Abdul Rahman telah diperintahkan keluar Dewan ketika pengundian dijalankan. Dengan hanya mendapat sokongan lima undi, Kerajaan PAS Terengganu telah tumbang pada 30 Oktober 1961 dan pada 8 November 1961, Mohd Daud Abdul Samad telah melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
30 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 30/10/2016

Share on Myspace