1MDB: Kalau Husni pun tak tahu, takkanlah polis tahu

TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .

Kalau Husni pun tak tahu, takkanlah polis tahu dan faham isu 1MDB

Tindakan bekas Menteri Kewangan kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah membangkitkan isu 1MDB di parlimen setelah gagal mendapat jawapan yang meyakinkan dalam kabinet wajib dipuji.

PAS menasihatkan pihak polis tidak membazirkan tenaga dan masanya untuk menemuramah Husni yang telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Sebaliknya, polis perlu terus menyiasat kes 1MDB yang sudah tertangguh lama. Malah, pada 20 Oktober yang lalu Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar berkata polis masih pada tahap mengesan saksi bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung 1MDB.

Soalan Husni di bawah sebenarnya perlu dijawab polis dan Peguam Negara dan bukannya membawanya untuk disoal siasat.

“Soalan pertama, mengapa kita tubuhkan 1MDB, dalam konteks itu mengapa kita letak lebih kurang RM16 billion dalam Aabar PJS Limited yang bukan dimiliki oleh International Petroleum Investment Company (IPIC), sebuah syarikat dimiliki oleh dua anak raja yang didaftar di British Virgin Island.

“Mengapa tindakan undang-undang tidak diambil ke atas pengurusan 1MDB kerana masukkan duit di tempat yang tidak betul, dan mengapa tidak ambil tindakan kepada dua anak raja ini kerana penyelewengan wang tersebut?”

Jika seorang Menteri Kewangan kedua seperti Husni yang bekerjasama dengan Menteri Kewangan pertama yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mempunyai hak untuk bertanya di parlimen, apakah lagi rakyat biasa yang inginkan kebenaran mengenai isu 1MDB didedah?

Jika Husni perlu disoal siasat, seluruh kabinet juga perlu disoal siasat, apakah mereka dengan sengaja mengelirukan orang awam mengenai 1MDB.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
31 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 31/10/2016

Share on Myspace