Air percuma: Selangor sedia RM183.2 juta bagi 2017

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM183.2 juta diperuntukkan bagi meneruskan Program Air Percuma yang mula dilaksanakan di Negeri Selangor sejak 2008.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dasar tersebut diteruskan demi kelangsungan dan memenuhi permintaan masyarakat Selangor khususnya di kawasan luar bandar, lapor SelangorKini.

“Peruntukan sebanyak RM183.2 juta disediakan untuk program air percuma bagi tahun 2017.

“Walau bagaimanapun, kerajaan negeri menyarankan air percuma dimanfaatkan secara berhemah.

“Air adalah sumber yang sangat bernilai dan pengguna perlu membudayakan amalan konservasi air,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Beliau berkata, skim pemberian air percuma kepada rakyat Selangor bagi 2017 dan tahun seterusnya, membabitkan jumlah peruntukan besar.

Dalam pembentangan Belanjawan 2016, sebanyak RM170 juta diperuntukkan bagi meneruskan lanjutan Skim Pemberian Air Percuma.

Sejak dilaksanakan pada 2008, masyarakat Selangor menikmati pemberian air percuma sebanyak 20 meter yang terus memberi manfaat kepada golongan sasar termasuk rakyat berpendapatan rendah.

Share on Myspace