Imam, ketua kampung dapat manfaat Belanjawan S’gor

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor bersetuju memberikan bantuan khas kewangan kepada semua penjawat awam mereka sebanyak dua bulan gaji.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali ketika membentangkan Belanjawan 2017 di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pemberian bantuan khas untuk sebulan setengah gaji kepada kakitangan awam negeri itu telah diberikan pada 1 Julai 2016 manakala bantuan khas sebanyak setangah bulan lagi akan diberikan pada 20 Disember 2016 sebagai persediaan persekolahan anak-anak mereka.

Menurut Azmin, pembayaran ini membabitkan sejumlah wang sebanyak RM57.2 juta.

"Penjawat awam merupakan tulang belakang kerajaan negeri yang profesional dan berintegriti di bawah pimpinan Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri. Baru panggil sudah datang, belum suruh sudah buat, inilah perkhidmatan awam Selangor. Tahniah.

"Kewangan negeri asyik belek buku kira-kira bukan apa, mahu memerangi ketirisan. Datuk Bandar turun lapangan rayau-rayau di sepanjang jalankalau-kalau ada jalan berlubang, intai-intai lorong kalau ada sampah yang tidak diangkut. Inilah tulang belakang kerajaan negeri Selangor," ujar beliau diikuti sorakan penjawat awam yang turut sama mengikuti pembentangan Bajet 2017.

Sementara itu, bermula Januari 2017 seramai 734 imam di negeri ini akan menikmati tambahan elaun sebanyak RM300 menjadikan elaun bulanan mereka kepada RM1300 setiap seorang dengan peruntukan sejumlah RM9.9 juta.

Manakala seramai 386 Ketua Kampung Tradisi dan 78 Ketua Kampung Baru dan Bagan di bawah pentadbiran kerajaan negeri Selangor akan menerima kenaikan elaun sebanyak RM300 sebulan begitu juga kenaikan elaun sebanyak RM200 untuk Ketua Komuniti India. – HARAKAHDAILY 31/10/2016

Share on Myspace