PAS Terengganu beri perhatian 2 kes besar JHEAT

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS Terengganu berharap agar akan ada pihak yang akan dipertanggungjawabkan dalam kes kehilangan wang rakyat yang melibatkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), baru-baru ini.

Ketua Penerangan PAS negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berharap ia tidak seperti yang berlaku ke atas kes penyelewengan wang penyelenggaraan kenderaan rasmi kerajaan Terengganu sedikit masa lalu.

"Yang mana tiada orang yang didapati bersalah atas kehilangan wang rakyat itu. Walhasil, duit rakyat tetap hangus dan pesalah tetap bebas," ujarnya menerusi laman facebook, sebagaimana di bawah.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu atau ringkasnya JHEAT adalah satu jabatan kepunyaan kerajaan Negeri Terengganu bagi menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam di Terengganu. Ia mengandungi pelbagai bidang kuasa yang telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri kepada JHEAT seperti institusi masjid, hal berkaitan nikah kahwin, pendidikan dan lain-lain.

Pendek kata JHEAT berperanan besar bagi meninggikan martabat Islam di mata masyarakat, apatah lagi di zaman yang serba mencabar ini. Banyak perkara yang baik telah dilakukan oleh JHEAT bagi perkembangan Islam di Terengganu, walaupun masih jauh untuk mencapai piawaian Islam yang sejati.

Namun, baru-baru ini, rakyat telah dikejutkan dengan perkembangan yang tidak sihat iaitu rasuah yang didakwa berlaku di kalangan kakitangan JHEAT. Bukan setakat dakwaan biasa, malah kertas siasatan dan penahanan beberapa orang kakitangan JHEAT telahpun dilakukan bagi membantu siasatan dan ada juga yang telah dihadapkan ke mahkamah. Tahniah SPRM di atas kejayaan ini. Semoga ianya menjadi peringatan bagi yang masih mahu melakukakannya.

Ada dua kes yang besar yang ingin PAS Terengganu berikan perhatian, iaitu kes penyelewengan pembekalan pemasangan karpet di beberapa masjid dan surau di negeri ini yang melibatkan tuntutan sebanyak lebih RM1 juta serta kes pemalsuan surat dan kad nikah. Atas hal ini, beberapa individu telah dibawa ke mahkamah bagi sebutan kes.

PAS Terengganu memandang serius perkara yang berlaku kerana ianya boleh membawa kepada runtuhnya kepercayaan rakyat terhadap agama Islam itu sendiri, apabila pihak yang dipercayai menjaga agama Islam, menyeleweng dari landasannya kerana terpedaya dengan wang.

PAS Terengganu juga berharap agar akan ada pihak yang akan dipertanggungjawabkan dalam kes kehilangan wang rakyat Terengganu ini. Jangan seperti yang berlaku ke atas kes penyelewengan wang penyelenggaraan kenderaan rasmi kerajaan Terengganu dahulu, yang mana tiada orang yang didapati bersalah atas kehilangan wang rakyat itu. Walhasil, duit rakyat tetap hangus dan pesalah tetap bebas.

Walau bagaimanapun, PAS Terengganu menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan SPRM dan mahkamah dalam menentukan keputusan terbaik berkaitan isu penyelewengan JHEAT ini.

Namun begitu, PAS Terengganu tidak dapat menyembunyikan rasa kebimbangan yang teramat sekiranya agama Islam yang suci dan mulia serta tinggi ini, turut terpalit oleh kekotoran lumpur yang dibawa oleh golongan lain yang kononnya dikatakan sebagai pihak yang melindungi Islam, tetapi sebaliknya mereka sebenarnya sebagai pihak yang mengotori Islam itu. Apa lagi jika ianya dijadikan sebagai modal oleh golongan pembenci Islam bagi menambahkan lagi nilai kebencian mereka. Wallahua’lam. - HARAKAHDAILY 31/10/2016

Share on Myspace