Selangor peruntuk RM125 juta laksana Skim Peduli Sihat

HARAKAHDAILY | .

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor amat prihatin terhadap tahap kesihatan rakyat yang boleh menjejaskan produktiviti, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Biarpun kerajaan negeri tidak mempunyai sumber pendapatan sebesar Putrajaya, namun kita memiliki rasa kepedulian yang raksasa," ujar beliau ketika membentangkan Belanjawan 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri akan memperkenalkan skim perlindungan perubatan dan kesihatan (medical and healthcare coverage) atau Skim Peduli Sihat bagi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) iaitu kelompok yang paling tertekan berikutan daripada kenaikan kos sara hidup.

Menurutnya, untuk maksud itu, kerajaan negeri bercadang memperuntukkan sejumlah RM125 juta setahun bagi pelaksanaan Skim Peduli Sihat yang akan menyediakan perkhidmatan percuma penjagaan kesihatan untuk 250,000 keluarga atau 1 juta rakyat Selangor yang mempunyai pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah.

Beliau berkata, Skim Peduli Sihat yang diuruskan oleh Selgate Corporation selaku Third-Party Healthcare Administrator akan membiayai rawatan kesihatan asas (primary care) setiap keluarga yang layak sehingga RM500 setahun.

"Penerima skim ini boleh mendapat rawatan di 1,000 buah klinik berdaftar di Selangor dan Lembah Klang," katanya.

Tambahnya, mereka yang dilahirkan atau telah menetap lebih 10 tahun di Selangor layak untuk menyertai skim itu.

Katanya lagi, pendaftaran boleh dilakukan di Pejabat Ahli Dewan Negeri, PBT dan pejabat daerah dan tanah, klinik-klinik berdaftar termasuk pendaftaran atas talian dengan menyertakan bukti atau pengesahan pendapatan.

"Setiap peserta akan menerima kad kesihatan Peduli Sihat. Pemegang akaun utama Peduli Sihat beserta tanggungannya isteri serta anak-anak di bawah umur 21 tahun boleh menerima rawatan doktor (general practicioner) di klinik-klinik berdaftar menurut had gunaan dan kelayakan yang telah ditetapkan," ujarnya lagi.

Beliau menambah, klinik-klinik yang berdaftar dengan Peduli Sihat akan mengenakan bayaran yuran konsultasi doktor yang tidak membebankan rakyat selaras dengan yuran yang ditetapkan oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA). - HARAKAHDAILY 31/10/2016

Share on Myspace