Kampung Warisan: Ada pihak pengaruhi penduduk

ASLANI M | .

TUMPAT: Penghulu Kampung Laut Razali Harun mendakwa ada pihak cuba menghalang penduduk yang terbabit projek Kampung Warisan mendapat maklumat sebenar.

Ini dibuktikan perbincangan bersama penduduk terlibat pada 18 Julai lepas tidak dihadiri ramai penduduk disebabkan terpengaruh pihak tertentu.

Razali berkata, sepatutnya perjumpaan diadakan di Pejabat Penggawa Kampung Laut namun ada pihak yang cuba menghalang.

“Ekoran itu perjumpaan diadakan pula di Dataran Purnama sebagai memenuhi kehendak sebahagian penduduk dan badan bertindak yang ditubuh.

“Bagaimanapun penduduk terlibat akhirnya akur juga datang semula ke Pejabat Penggawa bagi mendapat taklimat lebih jelas mengenai projek Kampung Warisan,” katanya di sini.

Cadangan kerajaan negeri membangunkan Kampung Warisan di Kampung Laut menjadi isu apabila ada pihak dikatakan bertindak menghasut penduduk.

Beberapa pertemuan pemimpin parti serpihan terbabit diadakan dengan sebahagian penduduk yang terlibat dengan projek berkenaan.

Khamis lepas sekumpulan penduduk berhimpun di hadapan Kota Darulnaim bagi membantah cadangan projek berkenaan.

Projek Kampung Warisan dirancang kerajaan negeri sejak Julai 2014. Program berkenaan dimasukkan perancangan program Transformasi Ekonomi Sempadan Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

Ia akan dibiayai sepenuhnya Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECER) dengan kos lebih RM30 juta.

Pembangunan projek itu melibatkan tanah milik penduduk seluas 2.18 ekar dan tanah kerajaan 0.3 ekar. Tanah dimiliki penduduk membabitkan tujuh lot, 13 rumah dan sebuah kandang kambing.

Razali juga berkata, sebanyak 13 penduduk yang terbabit dengan pengambilan semula akan disediakan lot baharu di sebelah jalan utama dengan keluasan 5,000 kaki persegi setiap lot.

“Penduduk yang terbabit juga ditawar pampasan harga tanah dan rumah yang mereka duduki sekarang.

“Lapan keluarga yang dikenal pasti miskin yang terbabit dengan projek Kampung Warisan akan dibina rumah dhuafat bernilai lebih RM40,000,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 1/11/2016

(Ikuti pendedahan lanjut dalam akhbar Harakah)

Share on Myspace