Apa kaitan kes liwat Anwar dengan RUU355?

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

SETELAH seminggu saya menulis ucapan takziah kepada DSAI berhubung penolakan mahkamah terhadap permohonan qazafnya, yang saya selitkan juga seruan supaya menyokong RUU355, maka nampaknya ada pihak mula membidas. Kata mereka, RUU355 tiada kaitan langsung dengan isu DSAI. Sebenarnya saya dah agak dari awal missleading seperti ini bakal berlaku. Cuma responnya viral sedikit lewat dari jangkaan.

Saya tidak nafikan, secara langsung ia memang tiada kaitan. Dalam tulisan ringkas saya yang lepas juga tiada saya tidak kaitkan secara langsung. Tetapi saya mahu tegaskan sekali lagi, ia punya kaitan yang kuat secara tidak langsung. Cuba baca kembali kenyataan saya tempoh hari:

Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam menolak permohonan Qazaf Anwar Ibrahim pagi tadi. Alasannya kerana ia diluar bidang kuasa mahkamah. Semua mahkamah syariah adalah tertakluk di bawah akta 355.

Takziah buat DSAI, keluarga dan semua pengikutnya. Saya harap mereka jadikan ini pengajaran untuk memahami betapa pentingnya bidangkuasa mahkamah syariah diperluaskan, bukan sahaja dalam bidang hukuman.

Perjalanan memerdekakan mahkamah syariah dari belenggu aturan penjajah masih jauh. Namun langkah pertama harus dimulakan. Caranya ialah, sokong usul RUU pindaan akta 355 yang bakal dibawa oleh MP Marang nanti.

Apa yang ramai tidak faham adalah kaitan tidak langsung dari sudut politik. Meminda enakmen mahupun akta bukan semudah teori yang dipelajari dari bahas perundangan sahaja. Ia juga perlu dilihat dari kacamata politik. Tanpa political will, enakmen itu tetap tidak akan terpinda.

Secara politiknya usul pindaan akta355 (lebih dikenali dengan akronim RUU355) yang dibawa TGHH boleh mempengaruhi badan legislatif lain untuk berani meminda peruntukan undang-undang lain yang berkaitan dengan maslahah agama. Kekuatan umat Islam dalam menentukan halatuju perundangan syariah di negara ini perlu dipamerkan terlebih dahulu. Barulah pihak lain teragak-agak untuk mengganggu proses yang lain.

Jika RUU355 ini gagal mendapat sokongan majoriti ahli parlimen, yang majoritinya orang Islam, maka ia akan menjadi lebih sukar untuk beralih ke peringkat yang lain. Orang bukan Islam akan lebih berani masuk campur hal ehwal agama kita dengan perpecahan kuasa umat Islam dalam urusan agama Islam sendiri. Sementalah di Dewan Negeri Selangor (yang berkuasa ke atas Mahkamah Syariah yang membicarakan DSAI), pembahagian kerusi antara Islam dan bukan Islam dilihat setara dengan Parlimen. RUU355 kini sengaja dimanupilasi sesetengah pihak sebagai isu pertembungan agama.

Kerana ini saya menulis di akhir "Perjalanan memerdekakan mahkamah syariah dari belenggu aturan penjajah masih jauh. Namun langkah pertama harus dimulakan. Caranya ialah, sokong usul RUU pindaan akta 355 yang bakal dibawa oleh MP Marang nanti." Tujuannya agar orang tidak memahami dengan pindaan berjayanya RUU355 kes DSAI terus akan diterima. RUU355 hanya satu langkah pertama. Meminda enakmen syariah di Selangor supaya DSAI terbela pula satu langkah yang lain. Langkah demi langkah perlu terus diambil sehingga semua undang-undang Islam tertegak.

Perkara ini sama seperti mereka yang mengaitkan RUU355 dengan hudud. Secara langsung ia memang tiada kaitan. Tetapi secara tidak langsung, ia membuka laluan kepada DUN untuk menggubal atau meminda enakmen masing-masing ke arah undang-undang Allah itu. Dari segi politik ia juga boleh mempengaruhi banyak pihak.

Saya ingin bawa bagaimana contoh bagaimana perjuangan Islam ini sangat berkait rapat dengan kaitan-kaitan secara tidak langsung. Baca ayat pertama Surah Al-Nasr dan bandingkan dengan ayat kedua. Tuhan menceritakan, apabila datang pertolongan Allah lalu dibuka kota Mekah, maka kita melihat ramai manusia masuk Islam berduyun-duyun. Secara literal, apa kaitan buka Mekah dengan memeluk Islam? Secara langsung tidak ada kaitan. Tetapi secara tidak langsung, ia sangat berkait.

Apabila Mekah dibuka, dari segi politiknya ia akan diperintah oleh orang Islam. Maka orang Islam akan menerapkan syariah Islam dalam perundangan, yang keadilannya pasti akan dilihat oleh rakyat Mekah. Dari segi sosiologinya dan psikologinya pula akan membuatkan mereka tertarik dengan Islam lalu akhirnya menatijahkan masuk Islam. Jauh kaitannya, tetapi al-Quran tetap menyebut. Supaya kita belajar melihat dari pelbagai sudut.

Menerusi peringkat pengharaman arak pula, cara Allah menguatkuasakan undang-undang pengharaman arak sangat teliti dan berperingkat. Awalnya menyatakan keburukan arak lebih banyak dari kebaikan, kemudian ke peringkat tidak membenarkan orang mabuk solat, hinggalah akhirnya turun ayat mengharamkan arak. Kepada yang melihat hanya pada pertengahan proses pengharaman arak ini, mungkin akan mempersoalkan: Apa kaitan larangan solat mabuk dengan pengharaman arak?

Sebenarnya banyak lagi yang boleh dikaitkan antara isu qazaf DSAI dan RUU355 dari segi politik, psikologi mahupun sosiologi. Namun masalah orang kita seperti sebahagian pengamal undang-undang (bukan semua) adalah melihat sesuatu isu hanya dari kacamata mereka sahaja, sedangkan realitinya mereka perlu melihat dari sudut yang menyeluruh.

Ini pentingnya bahas fiqh waqi' (fiqh realiti) dalam ilmu syariat Islam. Orang belajar fiqh muamalat belum tentu boleh berjaya dalam perniagaan. Pakar dalam fiqh munakahat tak menjamin bahagia rumahtangganya. Bahkan Imam Nawawi yang mahir dalam berbagai cabang Fiqh sekalipun, melakukan kesilapan ketika pertama kali melakukan ibadat Haji.

Justeru itu saya seru sekali lagi tanpa sangsi dan ragu, jika mahu DSAI terbela, mulakan langkah pertama dengan menyokong dahulu RUU355. Lihatlah menerusi kacamata yang luas. – HARAKAHDAILY 1/11/2016

Share on Myspace