Pihak luar peralat masyarakat Orang Asal

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Kerajaan negeri yakin ada pihak mengambil kesempatan menggunakan masyarakat Orang Asal di pedalaman Kelantan sehingga bertindak di luar batasan undang-undang.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata kerajaan negeri ada maklumat mengenai perkara itu.  

“Kita ada maklumat perkara itu berlaku, kalau nafi pun kita ada maklumat.

“Kalau benar pihak luar datang kerana ingin menolong masyarakat tersebut, kita tiada masalah, tetapi bukan mengambil kesempatan seperti yang berlaku sekarang,” katanya selepas majlis Malam Penghargaan NGO Kelantan dan majlis pelancaran dasar dan Konfederasi NGO di sini semalam.

Baru-baru ini Harakah mendedahkan ada dalang yang mempengaruhi masyarakat Orang Asal sehingga membuat sekatan laluan lori balak tidak jauh dari Pos Gob.

Sekatan yang dilakukan tersebut tidak disenangi sebahagian besar masyarakat Orang Asal kerana menyusahkan mereka.

Bagaimanapun ada pemimpin sebuah parti politik menyinap masuk ke kawasan tersebut tanpa mendapat permit Jabatan Perhutanan memasuki kawasan hutan simpan.

Pada 29 Oktober lalu media melaporkan sekumpulan Orang Asal dari enam kampung turut membuat sekatan laluan lori balak di Pos Bihai.

Mohd Amar turut menasihatkan masyarakat Orang Asal menghormati undang-undang kerana sekatan yang dilakukan tidak sepatutnya berlaku.

“Walaupun mereka tinggal di kawasan pedalaman namun undang-undang dan peraturan tetap sama. Mereka tidak boleh lari jika melakukan kesalahan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/11/2016

Share on Myspace